Model replika tersebut bukan sahaja menyamai saiz Aventador sebenar, malah ia juga boleh dipandu di atas jalan raya.
Melihatkan kepada kesungguhan dan tahap kreativiti pasangan anak beranak tersebut, dan bersempena dengan sambutan Krismas tahun ini, Lamborghini dengan murah hatinya menghadiahkan sebuah Lamborghini Aventador sebagai tanda menghargai usaha yang telah dilakukan.
Pada awalnya, syarikat supercar Itali tersebut menghubungi Sterling Backus dan menawarkan satu peluang yang sukar untuk ditolak.
Demi memberikan kejutan kepada anaknya, pasukan Lamborghini sanggup turun sendiri ke rumah Sterling dan 'menggantikan' model replika tersebut dengan sebuah Aventador S Roadster di dalam garaj keluarga beberapa hari sebelum Hari Krismas.
Jentera tersebut secara teknikal bukanlah sebuah hadiah sebenar, akan tetapi Lamborghini sanggup meminjamkan Aventador hitam tersebut selama dua minggu demi meraikan pasangan anak beranak terbabit.
Dalam satu kenyataan, Katia Bassi selaku Ketua Unit Pemasaran dan Perhubungan Automobili Lamborghini berkata, "Kami di Lamborghini tidak menyokong sebarang usaha menciplak mana-mana model kenderaan kami.
"Akan tetapi, melihatkan kepada usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh pasangan anak beranak ini, ia menjadi sebab utama kenapa kami memilih mereka untuk diperlihatkan dalam video Krismas 2019 tahun ini.