Lamborghini Huracan Sterrato - supercar dengan keupayaan off-road

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Supercar lazimnya dikaitkan dengan jentera berprestasi tinggi yang direka untuk menawan litar-litar terkemuka dunia (dan model show-off sesetengah pengamal MLM), namun model konsep yang dipaparkan oleh Lamborghini kali ini sedikit berbeza. 

Mana tidaknya, Lamborghini menggandingkan idea sebuah supercar dengan keupayaan untuk menawan jalan off-road, dikenali dengan nama Huracan Sterrato. 
 


Huracan Sterrato secara asasnya merupakan sebuah Huracan berkuasa 640 hp, sistem pacuan semua roda, sistem stereng empat roda dan mempunyai jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi 47 mm berbanding Huracan standard. 

Jarak kelegaan tanah ini turut memberikan kesan kepada sudut pendekatan (approach angle) yang lebih curam 1 peratus dan 6.5 peratus penambahbaikan kepada sudut pelepasan (departure angle) - sekaligus pengendalian di jalan off-road yang lebih berkesan.
 


Tidak cukup dengan itu, jarak trek (antara roda kiri dan kanan) juga turut ditambah sebanyak 30 mm dan kesan daripada itu, fender flare turut dipasang bagi melindungi tayar off-road yang membaluti rim gangsa bersaiz 20 inci itu. 

Perlindungan terhadap bahagian bawah casis juga telah ditambahbaik, termasuklah penambahan skidplate yang bertindak sebagai diffuser belakang. 

Manakala bahagian hadapan Huracan Sterrato ini telah diperkuat dengan rangka aluminium. 
 


Selain daripada itu, elemen-elemen tipikal kenderaan off-road turut terdapat pada Huracan Sterrato seperti lampu bar LED, lampu bumper LED, serta pelindung lumpur diperbuat daripada gentian karbon dan resin elastomerik. 

Di bahagian kabin, Lamborghini telah melengkapkan sangkar keselamatan titanium, tempat duduk bucket gentian karbon, harnesses empat poin dan panel lantai aluminium. 
 


Jika anda mempunyai wang yang tidak pernah susut di dalam akaun dan mahukan sebuah supercar serba boleh, Lamborghini Huracan Sterrato ini mungkin adalah calon terbaik untuk kegunaan anda. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
VF Wild merupakan sebuah trak pikap saiz pertengahan dengan ukuran panjang 5,324 mm dan lebar 1,997…
Berita Global
Menurut laporan Autocar, pengarah program reka bentuk Nissan, Giovanny Arroba berkata sebahagian…
Model Terbaharu
Namun Honda dilihat kekal teguh sebagai sebuah syarikat yang mementingkan kepuasan petrolhead…