
Akronim model Lamborghini suatu yang menarik dan STJ singkatan kepada Super Trofeo Jota dan penghormatan kepada siri perlumbaan Super Trofeo yang bermula pada 2009.
J merujuk kepada Lampiran J di dalam Peraturan FIA yang menetapkan spesifikasi kereta lumba.
J juga meneruskan tradisi Lamborghini membangunkan model untuk litar seperti Miura SVJ dan Aventador SVJ.
Di antara ciri khas Huracán STJ seperti pakej aerodinamik khas yang dibangunkan Lamborghini Squadra Corse yang memanfaatkan pengalaman mereka di litar.
Ciri aerodinamik dipertingkat melalui penggunaan cofango (tukup enjin), dua sirip gentian karbon dan sudut sayap belakang dinaikkan tiga darjah berbanding model produksi.
Perubahan kedudukan itu meningkatkan sepuluh peratus beban aerodinamik dan mengekalkan keseimbangan kereta.

Sama seperti STO, enjin 5.2 liter V10 STJ menghasilkan 639 ps pada 8,000 rpm dan tork 565Nm pada 8,000 rpm.
Enjin dipadan bersama kotak gear dua cekam tujuh kelajuan LDF (Lamborghini Doppia Frizione) dan pacuan roda belakang.
Cengkaman mekanikal ditingkatkan secara signifikan melalui empat penyerap hentak boleh laras yang disesuaikan dari perlumbaan dan menggantikan set asal jenis aktif.
Penyerap hentak mempunyai empat larasan bagi mengoptimumkan lantunan dan mampatan untuk kesesuaian di litar lumba.
Bagi mengoptimumkan dinamika pemanduan, STJ dipasang tayar Bridgestone Potenza Race yang dibangunkan khas dengan kompaun cengkaman tinggi khusus.

Tayar dipasang pada rim 20 inci dengan nat tunggal. Ciri teknikal STJ membantu masa pusingan sesaat lebih pantas berbanding STO di Litar Pengendalian Pusat Teknikal Nardò.
Model Lamborghini tidak kalah dengan gaya dan ciri sporti diserlahkan melalui penampilan dua warna dan grafik badan yang direka Lamborghini Centro Stile.
Pilihan pertama ialah Grigio Telesto (kelabu) dengan bumbung Nero Noctis (hitam) bersama riasan Rosso Mars (merah) and Bianco Isi (putih).
Bahagian dalam diisi kerusi dengan balutan Alcantara Nero Cosmus (hitam dan sulaman Rosso Alala (merah).
Satu lagi pilihan gabungan Blu Eliadi (biru) dengan bumbung Nero Noctis dan riasan merah dan putih.
Kedua-dua pilihan menampilkan plet gentian karbon bernombor 1 of 10. Lamborghini juga menawarkan plat buatan khas pada sisi penumpang mengikut pesanan pelanggan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
