Lamborghini Jalpa - cubaan syarikat Itali menghasilkan kereta sports murah

oleh Mohamad Hanif|
Jenama Lamborghini lebih dikenali sebagai sebuah jenama automotif dari Itali yang banyak menghasilkan kereta sports mewah (dan juga SUV Urus) serta nama-nama yang banyak diinspirasikan daripada lembu tempur (bull fighting).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak ramai yang mengetahui bahawa jenama Itali ini juga pernah suatu ketika dijual kepada syarikat Malaysia (Mycom Setdco dan V'Power dari Indonesia) pada tahun 1994 daripada pemilik sebelum ini American Chrysler Corporation sebelum ia kembali dimiliki oleh Volkswagen Group pada tahun 1998. 

 

Selain daripada segmen kereta sports dan SUV mewah, Lamborghini juga pernah menjebakkan diri untuk menghasilkan sebuah kereta sports yang mampu milik, dan lebih murah berbanding kereta sports premium Countach pada ketika itu. 

Lamborghini Jalpa (ˈxalpa: di baca sebagai Salpa) merupakan sebuah sports car 'murah' yang direka oleh Bertone dengan tahun penghasilan bermula dari 1981 sehingga 1988. 

Nama yang diberikan itu, Jalpa Kandachia (bukan Kardashian ya) merupakan nama yang dipetik daripada baka lembu tempur yang terkenal yang kemudiannya menjadi tradisi kepada penamaan model sports car Lamborghini selepas itu, iaitu Gallardo.  
 


Ia dibangunkan daripada model Silhouette (model Lamborghini sebelum ini yang namanya tidak berasaskan lembu, rujuk gambar di atas) dengan tujuan untuk menghasilkan sebuah kereta sports yang mudah untuk dipandu, ruang penglihatan yang lebih baik serta mudah untuk dikendalikan ketika trafik sibuk dan kelajuan yang rendah. 

Enjin yang digunakan ialah enjin 3.5 liter versi DOHC bentangan V8 yang sebelum ini pernah digunakan pada Lamborghini Silhouette, mampu menghasilkan 255 kuasa kuda dan daya kilas 305 Nm yang masuk penuh pada putaran enjin 4,000 rpm sebelum kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual lima nisbah kelajuan. 

Dengan berat bersih seberat 1,510 kg, ia membolehkan Jalpa memecut daripada 0-100 km/j di dalam masa 6 saat sahaja, dengan kelajuan maksimum yang dicatatkan sepantas 234 km/j. 
 


Sebagai sebuah kereta sports murah, ia menampilkan panel-panel plastik seperti bumper, liang kemasukan udara dan penutup enjin yang berwarna hitam pada awal kemunculannya sebelum model facelift menukarkan kesemua panel plastik hitam tersebut kepada warna cat badan pada tahun 1984.

Walaupun menurut rekod, Jalpa adalah kereta kedua terlaris di dalam pasaran dengan 410 unit terjual selepas model Urraco, pemilik Lamborghini pada ketika itu Chrysler memutuskan untuk menghentikan produksi Jalpa setelah melihat kepada kejatuhan jumlah jualan pada tahun 1988. 

Terbukti, Lamborghini juga pernah menghasilkan sebuah kereta sports murah untuk rakyat marhaen. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Lamborghini Huracán STO   Akronim model Lamborghini suatu yang menarik dan STJ singkatan …
Berita Global
Menurut Lamborghini, identiti logo baharu itu akan digunakan pada semua keretanya mulai sekarang…
Berita Global
  Walaupun berusia, 350 GT kekal anggun yang merupakan hasil rekaan dan dikeluarkan oleh …