Lamborghini SC20 - supercar tanpa bumbung, 770 hp hasil kerja Squadra Corse!

oleh Mohamad Hanif|
Semenjak diperkenalkan di dunia pada tahun 2011, sudah banyak derivasi jentera talaan khusus yang dihasilkan menggunakan asas daripada Lamborghini Aventador.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Antara yang paling diingati adalah Aventador J yang merupakan Aventador pertama dengan ciri tanpa bumbung dan cermin hadapan, diikuti dengan Veneno, Centenario, Sian FKP 37 diikuti oleh Essenza SCV12.

Tidak pernah mengenal erti cukup, Lamborghini mempunyai sebuah lagi model edisi terhad yang dihasilkan daripada Aventador, iaitu Lamborghini SC20.

 


Dibina khusus menggunakan kepakaran Lamborghini Squadra Corse, Lamborghini SC20 merupakan sebuah jentera tanpa bumbung dan cermin hadapan yang halal digunakan atas jalan raya, tidak seperti model SCV12 yang diperkenalkan sebelum ini.

Speedster baharu Itali ini masih lagi menggunakan enjin aspirasi natural 6.5 liter bentangan V12, namun dengan talaan yang mampu mencapai angka 770 kuasa kuda dan daya kilas 720 Nm - sama seperti model SVJ.

 


Pengaruh Squadra Corse selaku pasukan yang arif dalam sukan permotoran jelas kelihatan pada pakej penggayaan luaran jentera ini, seperti kit aerodinamik yang lebih agresif berbanding model Aventador J.

Menurut Lamborghini, rupa luaran SC20 ini banyak diinspirasikan daripada Diablo VT Roadster, Veneno Roadster dan Concept S Gallardo.

 


Rekaan lampu belakang pula diinspirasikan daripada model Sian sebelum keseluruhan jentera ini dilayangkan dengan warna Bianco Fu diikuti warna aksen Cepheus Blue.

Ruang kabin pula menampilkan penggunaan gentian karbon terdedah termasuk kerangka tempat duduk yang dibaluti bahan kulit dan Alcantara, manakala corong udara pula dicetak menggunakan pencetak 3D, diikuti dengan pemegang pintu daripada aluminium solid.

 


Hanya satu unit sahaja Lamborghini SC20 dihasilkan, dan harganya tidak didedahkan oleh Lamborghini.