Lancer Evo X Final Edition 'baru' untuk dijual - hampir setengah juta Ringgit!

oleh Mohamad Hanif|
Mitsubishi mengumumkan penamatan penawaran sedan berprestasi tinggi menerusi model Lancer Evolution X Final Edition pada tahun 2015, di mana sebanyak 3,100 unit sahaja untuk pasaran global.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Daripada jumlah tersebut, 350 unit dikhususkan untuk pasaran Kanada, dan unit yang masih lagi tersedia ini merupakan unit terakhir Lancer Evolution X Final Edition dengan nombor 350.

 

Evo X Final Edition


Unit ini diiklankan oleh salah satu pengedar Mitsubishi di Ontario, Kanada dengan harga jualan $147,899 CAD (RM499,465) bermakna dalam duit kita hampir setengah juta Ringgit!

Model tahun 2015 ini memiliki jarak perbatuan 99 km sahaja, di mana kondisi luar dan dalamannya masih lagi terjaga, malah ketika musim sejuk kereta ini diparkir dalam fasiliti dengan pemanas terbina.

 

Evo X Final Edition


Bahagian luar didatangkan dalam warna putih dengan bumbung hitam, lencana Final Edition, serta set roda BBS yang melindungi angkup brek Brembo berwarna merah.

Ruang kabin juga masih lagi standard kilang, cuma versi Final Edition ini didatangkan dengan kemasan jahitan kontras merah serta plak unik yang memaparkan nombor siri produksi Evo X ini.

 

Evo X Final Edition


Evo X Final Edition ini didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 303 hp dan 414 Nm yang disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi manual lima kelajuan, berbanding model standard yang berkuasa 291 hp dan 407 Nm.

Harga yang diminta memang mahal, ini kerana sebagai perbandingan pada tahun 2015 Mitsubishi menjual Evo X Final Edition dengan harga bermula dari $95,582 CAD (RM322,787) sahaja.

Jadi? Tepuk dada, tanyalah selera!