Sekiranya anda masih seorang peminat sejati siri Lancer Evolution dan mempunyai simpanan wang yang mencukupi, tidak salah untuk anda mencuba nasib untuk membeli model bernombor siri pertama dari Lancer Evolution X Final Edition tersebut.
Menurut penemuan yang dibuat oleh laman web Road and Track, mereka mendapati pengedar Mitsubishi di Brooklyn masih mempunyai model pertama daripada siri Final Edition tersebut.
Nombor siri yang tertera "US0001" tersebut boleh dilihat menerusi lencana yang dipasang pada konsol tengah kereta tersebut dan hanya mempunyai jarak perbatuan sebanyak 56 km sahaja!
Ketika mereka (Road and Track) menghubungi pengedar di Brooklyn, jurucakap pengedar tersebut memberitahu Lancer Evolution Final Edition tersebut masih tidak mempunyai tuan dan tidak pernah berdaftar setelah hampir tiga tahun berada di pasaran.
Ia kini disenaraikan dalam laman web Autotrader dengan harga jualan bermula dari $47,888 (RM199k++), lebih mahal $10,000 berbanding harga runcit yang disyorkan ketika ia mula-mula menjengah pasaran tiga tahun yang lalu.