Lancia Delta akan dihidupkan kembali sebagai EV

oleh Mohamad Hanif|
Lancia pada ketika ini mungkin satu-satunya jenama yang menjual produk tunggal (Lancia Ypsilon) di tempat sendiri (Itali), namun jenama yang sinonim dengan jentera rali itu mempunyai perancangan tersendiri pada masa akan datang.

Menurut laporan terkini, CEO baharu Lancia, Luca Napolitano mengesahkan mereka bakal menghidupkan kembali nama Delta kira-kira empat tahun dari sekarang.

"Semua orang mahukan Delta, dan model ini tidak seharusnya hilang dari perancangan kami. Ia akan kembali sebagai sebuah Delta yang sebenar - sebuah kereta yang menyeronokkan dan sudah pasti ia akan menjadi sebuah kenderaan elektrik," Napolitano memberitahu akhbar Corriere della Sera.

 

Lancia


Tiada sebarang butiran didedahkan buat masa ini, namun akhbar penerbitan itu membuat spekulasi Lancia berkemungkinan besar akan menggunakan pelantar daripada portfolio Stellantis, dengan penggunaan bateri jenis solid-state yang membenarkan jarak pergerakan sejauh 700 km.

Namun sebelum Delta baharu dilancarkan, Lancia akan menggantikan terlebih dahulu model tunggal mereka, Ypsilon dengan generasi baharu setelah 10 tahun berada di pasaran Itali.
 

Ypsilon


Pengganti Ypsilon itu akan dilancarkan pada tahun 2024 dan bakal menjadi model berenjin pembakaran yang terakhir daripada Lancia.

Ini kerana menjelang tahun 2026, Lancia akan mengikut jejak langkah kebanyakan pengeluar untuk menjadi sebuah jenama EV sahaja.

Sumber: Corielle della Sera

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Kini, jentera yang sama bakal menonjolkan diri semula di dalam World Rallycross Championship 2022…
Berita Global
Meskipun Lancia sebelum ini telah mengesahkan kehadiran semula model Delta sebagai sebuah hatchback…
Berita Global
Di bawah program Heritage Parts, ia bertanggungjawab menghasilkan kembali 31 komponen alat ganti…