Lancia Delta Evo-e - Restomod EV dengan transmisi manual!

oleh Mohamad Hanif|
Proses restomod dengan memuatkan trenkuasa elektrik ke dalam badan kereta-kereta lama dan klasik sebenarnya telah pun lama popular di luar negara, tinggal lagi JPJ cawangan Malaysia sahaja yang masih lagi belum membenarkan modifikasi sedemikian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Meskipun Lancia sebelum ini telah mengesahkan kehadiran semula model Delta sebagai sebuah hatchback berkuasa elektrik, sebuah syarikat telah pun selesai membuat sebuah Delta EV!

Lebih tepat lagi, Lancia Delta Integrale EV yang digelar sebagai Delta Evo-e yang dihasilkan oleh syarikat GCK Exclusiv-e.
 

Evo-e


Dari segi rekaan, Lancia Delta Evo-e tidak banyak membawakan perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan model penderma - masih lagi sebuah hatchback rekaan berkotak.

Namun, pihak GCK telah menambah komponen gentian karbon pada beberapa tempat seperti splitter, liang fender, spoiler belakang dan juga diffuser.
 

Lancia


Ruang kabin juga turut menjalani proses modenisasi dengan memuatkan bahan Alcantara dengan jahitan kontras jingga, roda stereng Momo, tempat duduk Recaro, sistem audio Blam, serta sistem infotainmen Alpine dengan skrin sentuh yang boleh disorok bagi mengekalkan rupa klasik papan pemuka hatchback ini.

Tiada lagi deruman nadi petrol disebalik hud enjin, sebaliknya ia menempatkan trenkuasa yang terdiri daripada motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa puncak 197 hp dan 350 Nm, atau kuasa 121 hp dan 200 Nm output berterusan.

Nampak rendah, tapi harus diingat, ia sebenarnya hampir menyamai output asal jentera ini.

Sedikit mengejutkan apabila pihak GCK membuat keputusan untuk mengekalkan penggunaan transmisi manual lima nisbah kelajuan, namun aspek final drive telah diberikan nisbah baharu sementara sistem pacuan semua roda pula telah ditala semula supaya 53 peratus kuasa disalurkan kepada gandar belakang, dan selebihnya pada gandar depan.
 

Lancia


Pecutan 0-100 km/j boleh disempurnakan dalam masa 6.6 saat, sementara pek bateri pula adalah berkapasiti 29 kWh dengan jarak pemanduan sejauh 200 km untuk sekali cas penuh.

Biarpun telah disumbatkan dengan trenkuasa elektrik, berat badan EV ini hanya seberat 1,440 kg, atau 100 kg lebih berat berbanding model original.

Tidak cukup sekadar memuatkan trenkuasa sifar emisi, pihak GCK turut menambah jarak trek, spring baharu yang merendahkan ketinggian jentera ini, serta brek yang lebih besar di mana bahagian hadapan mendapat angkup enam omboh dan rotor sebesar 306 mm.

Secara keseluruhan, Lancia Delta Evo-e hanya ditawarkan sebanyak 47 unit terhad, dan seperti biasa harga jualan tidak didedahkan secara rasmi.
 

Evo-e


Untuk peminat yang lebih hardcore, GCK Exclusiv-e turut menawarkan Lancia Delta Evo-e Rallye dengan liveri inspirasi Martini yang dihadkan kepada 11 orang pembeli sahaja.

Untuk versi rali ini, ia mendapat ciri seperti casis aluminium, penambahan komponen gentian karbon, tempat duduk ringan Sparco dan tetapan pemanduan yang lebih agresif.

Untuk mempromosikan Lancia Delta Evo-e ini, pemilik GCK Motorsport, Guerlain Chicherit telah memilih pemandu rali lagenda yang juga juara WRC, Didier Auriol yang sebelum ini memandu jentera rali Delta selama empat musim.