Lancia Delta Integrale bakal jadi e-Integrale - jentera rali dengan trenkuasa elektrik!

oleh Mohamad Hanif|
Modifikasi retrofit trenkuasa elektrik terhadap kereta-kereta lama dan klasik bukanlah satu kisah baharu, ini kerana kami percaya anda sendiri sebagai pembaca Careta sudah pun mengetahui beberapa contoh yang pernah kami bawakan sebelum ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Baik daripada kereta klasik marhaen seperti Volkswagen e-Kafer sehinggalah kepada jentera Jaguar Classic E-Type Zero.

Kebaikannya, kereta sedemikian boleh dipandu di dalam kawasan bandar yang ketat regulasi pelepasan emisinya, seperti contoh bandar-bandar utama di Eropah.

Melihatkan kepada situasi sebegini, GC Kompetition, pasukan permotoran Perancis memperkenalkan sebuah kit retrofit trenkuasa elektrik di bawah siri E-Retrofit Premium dan model pertama yang bakal menjadi 'mangsa' - sebuah jentera rali Lancia Delta Integrale.

Pihak GCK tidak memandang remeh semangat rali yang pernah ditunjukkan oleh jentera Lancia Delta Integrale, dan ini bermakna kuasa yang bakal diperlihatkan menerusi modifikasi retrofit ini bakal menyamai atau melebihi prestasi asal jentera tersebut.

Dengan pengenalan siri E-Retrofit Premium yang pertama, pihak GCK juga akan membawakan sekali model pertama di bawah Electric Racing Vehicle yang memberikan petanda kedua-dua model ini akan berkongsi komponen dan angka prestasi yang serupa.

Memandangkan Lancia Delta Integrale merupakan kenderaan pertama yang bakal diperkenalkan di bawah siri E-Retrofit Premium, mungkin pada masa akan datang kita akan dapat melihat kelibat beberapa model rali klasik seperti Audi Quattro, Subaru Impreza, Ford Escort RS1800, Toyota Celica Turbo dan mungkin Mitsubishi Lancer Evolution.

Bagi mereka yang memiliki jentera rali klasik dan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, anda boleh menempah kit tersebut bermula Oktober 2020 ini.