Setelah hadir dengan projek restomod Lancia Delta Integrale Futurista pada tahun 2018, syarikat coachbuilder Automobili Amos kini tampil dengan projek yang memfokuskan kepada model rali - Lancia Delta Safarista.
Ia masih lagi perlu menggunakan model asal Delta Integrale 16V sebagai model penderma, dan kos untuk mengubahsuai ini bermula dari €570,000 (RM2.7 juta) sahaja, tidak termasuk harga untuk kereta penderma.
Dengan kos tersebut, anda sebagai pemilik Delta akan mendapat rekaan badan gentian karbon dengan pengubahsuaian kepada model tiga pintu, kit badan lebar yang merangkumi fender berpetak, bonet dan spoiler belakang yang besar.
Tidak seperti Futurista yang lebih sesuai sebagai kereta jalanan, kereta rali Safarista ini mempunyai sistem gantungan yang lebih tinggi, tayar all-terrain, bampar depan dan belakang yang direka semula serta pemasangan mud guard.
Ruang kabin pula menempatkan pemasangan sangkar keselamatan penuh, sepasang tempat duduk jenis bucket dengan sistem harnesses empat atau lima poin, kluster instrumen digital, brek tangan perlumbaan, tayar simpanan saiz penuh, unit pemadam api, dan papan pemuka yang dibaluti Alcantara.
Tidak seperti restomod syarikat lain yang membuang terus unit trenkuasa asal, model Safarista ini mengekalkan enjin standard 2.0 liter turbo, namun telah meningkatkannya dengan sistem penyejukan udara, air dan minyak untuk pemanduan ekstrem.
Tiada sebarang angka output didedahkan, namun segala kuasa kuda yang dihamburkan itu disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi sekuential dan differential spesifikasi rali.
Untuk projek restomod ini, Automobili Amos mengehadkan slot kepada 10 unit sahaja, dengan penghantaran pertama akan dibuat pada tahun 2023.