Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato, kereta lumba ikonik untuk dibida, dijangka RM715 ribu hingga RM869 ribu!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato 1968
Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato 1968
Dunia kereta memang luas dan mustahil untuk mengenalinya secara terperinci dan mendalam.

Bayangkan daripada kereta pertama sebelum abad ke-19 sehingga sekarang. Walaupun begitu, tidak semuanya mustahil dan mendalami ilmu kereta boleh dibahagikan mengikut dekad.

Sebagai contoh pahlawan dari Itali iaitu Lancia Fulvia yang dikeluarkan dari 1963 hingga 1976.

Tidak lama selepas kelahiran kereta produksi pertama, manusia sudah kemaruk mahu berlumba dan begitu juga pada dekad seterusnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato 1968

 

Dari sejarah perlumbaan anda boleh merungkai kereta hebat pada masa itu. Sebagai contoh Bugatti, Skyline, Impreza dan sebagainya.

Sebagai rujukan, Fulvia memahat sejarah kembalinya Lancia ke dunia perlumbaan selepas menarik diri dari Formula 1 pada 1955.

Lancia Fulvia dibuat dalam tiga model utama iaitu sedan, coupé dan sport. Daripada Fulvia Sport 1300 lahirnya model langka Fulvia Sport 1.3 Competizione.

Pada penghujung 60-an, Pengarah Jabatan Perlumbaan Lancia, Cesare Fiorio memesan sejumlah Fulvia dari Zagato dengan ciri khas seperti badan yang diringankan.

Berbekalkan enjin 1,300 cc 4V dan badan aluminium yang dirivet pada kerangka besi, model perlumbaan itu ringan, berkuasa dan seronok untuk dipandu dengan pacuan depan.

 

Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato 1968

 

Dari gambar di dalam artikel ini anda boleh lihat bahagian struktur yang ditebuk bagi meringankan kereta.

Tingkap mengunakan plexiglass empat milimeter kecuali cermin depan daripada kaca. Model ini digeruni pada era perlumbaan dakian bukit, rali dan ketahanan.

Fulvia Sport Competizione memenangi banyak perlumbaan di antaranya Targa Florio dengan kejayaan dalam kelas pada 1968, 1969 dan 1971.

Dibuat untuk pasukan dan pelumba persendirian, berdasarkan sumber yang boleh dipercayai kereta ini hanya dihasilkan sebanyak 25 buah sahaja.

Daripada jumlah tersebut, 19 masih lagi wujud dan satu daripadanya menjadi peluang kepada mereka yang berhasrat untuk memilikinya.

 

Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato 1968

 

Unit dengan nombor casis 1905 yang asalnya dimiliki juara Kereta Touring Itali, Angelo Rizzo dibuka untuk bidaan oleh platform jual beli dalam talian Car & Classic pada 10 Januari.

Selepas menggunakannya untuk berlumba pada 1968, beliau menjual kereta ini pada Emanuele Parrinello yang turut bersaing di dalam perlumbaan tahun 1969.

Kereta ini menjalani beberapa pengubahsuaian dan kerjaya sebagai jentera lumba ditamatkan setelah pemiliknya tidak mahu mengikuti peraturan baharu Group 3.

Kereta ini juga pernah bertukar kepada warna Lancia Blue sebelum pemilk pada awal 90-an membaik pulih kepada penampilan asal.

San Siro Red adalah warna asal seperti yang dipilih Zagato dan pada hari ini menggunakan penyerap henyak boleh laras dan sejumlah set tayar dan rim.

 

Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato 1968

 

Ada lima rim asal Campagnolo 13 inci, empat tayar Pirelli CN36, lima rim baharu Cromodora 14x6 dan tayar Vredestein 185/14 semua musim.

Kotak gear 10/37 disediakan oleh Officina Ratto yang sesuai untuk jalan biasa. Kotak gear singkat untuk perlumbaan juga dibekalkan dan berfungsi dengan baik.

Lagi perkakasan seperti dua karburetor 35 Dell'Orto dengan trumpet, radiator minyak, suis batero, pengesan rpm Brantz.

Turut dilengkapi gabungan pegas daun depan dengan galas pengguling (roller bearing) seperti binaan asal.

Pada bahagian dalam, kemasan dan kerusi masih lagi unit asal. Selain stereng Ferrero Sandro Munari, stereng Momo yang digunakan Angelo Rizzo boleh dibeli berasingan.

 

Lancia Fulvia Sport Competizione Zagato 1968

 

Individu yang memiliki kereta ini sekarang merupakan keturunan langsung pengasas Lancia iaitu Vincenzo Lancia.

Beliau anak kepada Francesco De Virgilio, jurutera yang membangunkan enjin V6 pertama dan digunakan pada Lancia Aurelia. Kereta ini disimpan di dalam garaj berhawa dingin.

Dibuka untuk bidaan dari 10 sehingga 17 Januari, harga Fulvia Sport 1.3 Competizione casis 1905 dijangka dari 140,000 sehingga 170,000 euro (RM715,418 - RM869,038).

Penulis: Muhammad Md Tajudin