Land Rover Series IIA diubah suai jadi jip elektrik, hasil kerja Everrati

oleh Muhammad Md Tajudin|
Land Rover Series IIA Everrati
Land Rover Series IIA Everrati
Everrati ditubuhkan pada 2019 oleh Justin Lunny dan Nick Williams dan syarikat beroperasi di Upper Heyford, Oxfordshire.

Fokus Everrati ialah mengubahsuai kereta klasik kepada kenderaan elektrik (EV).

Di antara model klasik yang diubah suai dari jenama tersohor seperti Porsche, Land Rover, Range Rover dan Mercedes-Benz.

Terbaru Everrati mempertontonkan Land Rover Series IIA, sebuah jip klasik yang tidak memerlukan petrol, diesel dan pelincir kotak gear.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024
Land Rover Series IIA Everrati

 

Land Rover Series IIA dikeluarkan dari 1961 hingga 1971 dan satu daripada 'Len Roba' yang terkenal dengan kelasakannya.

Reka bentuk Land Rover klasik pula memang berkotak dan bagaimana mahu dibayangkan jip ini dalam bentuk lain?

Kotak adalah sifat Land Rover dan populariti jip ini sentiasa mekar walaupun kos seunit dan baik pulih bukan calang-calang.

Usaha Everrati menjelmakan Land Rover Series IIA kepada EV ibarat berpusing 180 darjah, rasa pelik, jip yang lasak dan klasik dijadikan EV.

 

Land Rover Series IIA Everrati


Apa pun pendapat, usaha ini harus dipuji kerana memanjangkan hayat Series IIA dan paling penting tidak mengeluarkan karbon dioksida yang mencemarkan alam.

Untuk menjadikannya sebuah EV, Everrati memasang pek bateri 60 kilowatt-jam (kWj) dengan motor elektrik yang boleh memacu dua (2WD) atau empat roda (4WD).

Jarak pemanduan boleh mencecah 241 kilometer dan pecutan dari 0 hingga 60 batu sejam memerlukan 13 saat.

 

Land Rover Series IIA Everrati

 

Bukan setakat bertambah laju, Series IIA ini juga gagah perkasa dengan tork 300Nm.

Sebagai sebuah EV, jip ini mempunyai teknologi pembrekan regeneratif dan pengguna boleh mengecas dengan kuasa AC atau pengecas pantas DC.

Sesuai dengan peredaran masa, Everrati menawarkan pilihan stereng dan brek berkuasa dan sistem audio dan walaupun dimodenkan dan mewah, jip ini kekal klasik dengan rim besi.

 

Land Rover Series IIA Everrati

 

Bahagian luar kekal dengan imej ringkas manakala bahagian dalam mewah dibalut kulit Bridge of Weir dan pembeli diberi pilihan lantai kayu.

Berapa harga untuk sebuah Land Rover Series IIA elektrik? Bermula daripada 159,950 pound (RM914,139).

Satu lagi perkara penting, walaupun diubah suai sebegini, enjin asal dan kotak gear asal boleh dipasang semula dan mengekalkan nilai sejarah dan harga.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Land Rover Series IIA Everrati