Langgar belakang Ford Ranger, pemandu van Polis turut disaman

oleh Mohamad Hanif|
Pemandu van polis yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger di KM 16, Jalan Jerantut-Temerloh di sini Jun lalu, turut dikenakan saman kerana gagal mengawal kenderaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, tindakan tersebut diambil selepas siasatan dilakukan mengenai kejadian itu yang berlaku pada 20 Jun lalu iaitu kira-kira jam 3 petang.

"Bilik Gerakan Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang menerima makluman mengenai kejadian itu mengenal pasti kemalangan yang berlaku melibatkan sebuah van Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari IPD Lipis dan sebuah kenderaan orang awam.

"Dalam kejadian ini, pemandu dan penumpang dalam kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Azhar berkata, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya.

Katanya, hasil siasatan telah dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Cawangan Temerloh yang mengarahkan pemandu kenderaan orang awam tersebut disaman atas kesalahan menghalang lalu lintas di bawah Kaedah 12(4) LN 166/59 iaitu kenderaan tidak boleh berhenti dan memotong di garisan putih berkembar bagi apa-apa tujuan.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Temerloh telah mengeluarkan saman kepada pemandu kenderaan awam tersebut, manakala pemandu van polis juga telah disaman kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Sementara itu, beliau berharap dengan penerangan tersebut tiada lagi spekulasi timbul terhadap tindakan PDRM dalam menjalankan tugas.

"Pihak PDRM mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan memberi maklumat bagi membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan serta menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita mempersoalkan tindakan pihak polis menyaman abangnya selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu lelaki terbabit dilanggar oleh van polis di KM 16, Jalan Jerantut-Temerloh di sini Jun lalu.

Butiran insiden itu dikongsikannya menerusi Twitter @itslyzaa pada Khamis tular dengan mendapat sebanyak 17,500 tanda suka dan 16,500 ciapan semula.

Sumber: Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Daripada maklum balas yang diterima @straits_times, AIG berkata keputusannya dibuat berdasarkan ‘…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai…
Berita Global
Menurut NTSB, maklumat awal menunjukkan Ford Mustang tersebut melanggar bahagian belakang sebuah…