Lapan bukti BMW X3 sDrive20i ini memang berbaloi!

oleh Mohamad Hanif|
Bagi sesiapa yang mencari sebuah SUV yang bersesuaian dengan apa jua fasa kehidupan – bujang mahupun berkeluarga – BMW X3 merupakan antara pilihan yang sesuai.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan sebuah varian baharu pemasangan tempatan (CKD) bagi keluarga SUV BMW X3, iaitu BMW X3 sDrive20i dengan harga yang cukup-cukup berbaloi di bawah julat RM300,000.

Jadi, dengan harga tersebut, apa yang anda boleh dapat? Baaaaanyak sebenarnya!

 

Poin 1: Kuasa enjin yang berbaloi untuk kegunaan seharian
 

Tidak seperti sesetengah model yang hadir dengan enjin yang lebih kecil, trend itu tidak pula diikuti oleh BMW X3 walaupun untuk varian asas sDrive20i ini.

Sama seperti varian X3 yang dilancarkan sebelum ini, varian sDrive20i turut menawarkan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo, namun dengan talaan 184 hp, serta daya kilas 300 Nm dipadankan dengan transmisi automatik.

Dengan pacuan roda belakang, pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam 8.2 saat sahaja, menjadikan BMW X3 sDrive20i ini cukup kuasa untuk bergerak lancar di dalam trafik bandar.

 

Poin 2: Saiz berpadanan untuk sebuah kereta keluarga


Untuk sebuah kereta keluarga, saiz sememangnya memainkan peranan penting, bukan sahaja untuk memuatkan ahli keluarga, malah barangan-barangan keperluan seharian.

BMW X3 sDrive20i menawarkan ruang kabin yang mampu memuatkan lima orang pada satu-satu masa, dan ditambah pula dengan ruang kargo sebesar 550 liter di bahagian belakang.

Cukup besar, bukan?
 

Poin 3: Penampilan kekal sporti!


Ya, mungkin anda menyangka dengan pengenalan varian sDrive20i ini bermakna ia mendapat kemasan yang kurang menggiurkan berbanding varian X3 xDrive30i Luxury atau X3 xDrive30i M Sport yang lebih sporti itu.

Akan tetapi, varian X3 sDrive20i ini masih lagi mendapat kemasan luaran xLine seperti gril hadapan dan kawalan kepak udara berwarna hitam berkilat, rim aloi bersaiz 19 inci Y-spoke stail 694 yang dibaluti tayar run flat, rel bumbung kemasan aluminium satinated, kemasan Individual Exterieur Line Aluminium Satinated, serta lampu LED depan dan belakang!

Untuk golongan ibu atau bapa era moden, penampilan BMW X3 sDrive20i ini memang sangat memukau!

 

Poin 4: BMW Live Cockpit Plus: Meter analog sebenarnya masih lagi relevan!


Di saat kebanyakan pengeluar mula mengintegrasikan skrin paparan kluster instrumen berbentuk digital disebalik roda stereng, BMW juga tidak terkecuali membawakan trend yang sama pada model-model terbaharu mereka.

Untuk mereka yang rindukan paparan meter analog, anda boleh dapatkan ciri BMW Live Cockpit Plus ini pada BMW X3 sDrive20i, serta integrasi skrin digital bersaiz 5.7 inci pada panel bawah.

 

Poin 5: Kelengkapan moden tidak pernah dilupakan pada BMW X3 sDrive20i


Ada macam-macam kelengkapan standard yang dimuatkan pada varian X3 sDrive20i ini, termasuklah skrin infotainmen 10.25 inci, sistem audio HiFi 205W dengan 12 unit pembesar suara, sistem pendingin hawa tiga zon, dan juga sistem pencahayaan ambien.

Cukup lengkap dan berbaloi untuk sebuah model 'asas', bukan?


Poin 6: BMW X3 sDrive20i memudahkan anda memasuki parkir di pusat beli belah!


Selain daripada ciri kamera undur dan penderia parkir yang amat diperlukan bagi sebuah SUV yang besar, BMW X3 sDrive20i juga mempunyai kelengkapan yang tersendiri bagi membantu anda ketika meletakkan kenderaan.

Fungsi parking assistant membolehkan anda memasuki ruang parkir sisi atau menegak secara automatik. Hanya dengan menekan butang khas, sistem ini akan mengukur ruang yang berpotensi dengan syarat kenderaan dipandu bawah kelajuan 35 km/j, dan sistem akan mengambil alih kawalan stereng, brek dan penukaran gear secara automatik jika posisi gear dimasukkan ke 'R' dan butang "Park/PDC" ditekan secara berterusan.

Usah risau jika anda tidak biasa, kerana anda boleh mengambil alih kawalan pada bila-bila masa.

Ciri Active Park Distance Control pula meminimumkan kerosakan ketika SUV sedang mengundur memasuki ruang parkir terutama apabila terdapat halangan dari arah belakang atau sisi.

Canggih juga ciri yang ada pada BMW X3 sDrive20i ini ya?


Poin 7: Sistem keselamatan aktif
 

Dalam keghairahan untuk mencari sebuah kereta yang bersesuaian, usah dilupakan pada ciri-ciri keselamatan yang mampu melindungi seisi keluarga.

Menggunakan sistem berasaskan kamera dan radar, BMW X3 sDrive20i mampu menawarkan beberapa ciri keselamatan aktif seperti Amaran Keluar Laluan, Amaran Penukaran Laluan, Amaran Pelanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Lintasan Trafik Belakang, dan Pengelakan Pelanggaran Belakang.

Membawa sebuah SUV mewah yang sedap dan laju ini mungkin sekali akan menyebabkan anda terlupa akan kelajuan persekitaran, terutama ketika memasuki kawasan yang mempunyai had kelajuan tersendiri seperti kawasan sekolah dan kawasan bandar.

Dengan fungsi Speed Limit Info, anda kini boleh mengetahui had kelajuan yang perlu dipatuhi dan menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab kepada para pengguna jalan raya yang lain.

 

Poin 8: Harga memang berbaloi sangat!


Untuk sebuah SUV BMW sDrive20i yang cukup lengkap dengan ciri yang disebutkan di atas, harga yang ditawarkan juga tidaklah begitu mahal.

Anda boleh dapatkan semua itu dengan harga bermula dari RM286,674.00 sahaja (atas jalan tanpa insurans), dengan pakej yang cukup menarik, dan penampilan yang tidak terkalahkan!

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian…
Berita Domestik
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Sahabudin Abd Manan,…
Berita Global
Lebih menarik perhatian, harga jualan BMW iX3 bermula dari SGD252,888 (RM783,493) termasuk COE, di…