"Mereka digalak merakam gambar perbuatan menyalahi peraturan ini dan melaporkannya menerusi aplikasi MYJalan supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan segera," katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Sabtu.
Alexander pada Sabtu telah meninjau keadaan jalan yang dilaporkan mengalami kerosakan disebabkan banyak lori lebih muatan menggunakannya dengan kerap.
Beliau berkata, lori berkenaan didakwa sengaja melanggar peraturan, malah ada yang memotong gantri dipasang bagi menghalang mereka menggunakan laluan berkenaan.
Tegasnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) secara keseluruhan meluluskan peruntukan berjumlah RM7.5 juta untuk membaiki turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur permukaan jalan.
"Peruntukan itu antara lain membabitkan pembaikan segera kerosakan jalan yang kritikal dan pemasangan gantri serta papan tanda jalan had berat muatan yang dibenarkan.
"KKR merancang melebarkan sebahagian jalan membabitkan laluan memotong di lokasi sesuai demi keselesaan pengguna, bergantung kepada kelulusan dalam Belanjawan 2024," katanya.
Alexander berkata, KKR memerlukan RM30 juta untuk menaik taraf laluan dan memberi jaminan akan berusaha mendapatkan peruntukan berkenaan demi keselesaan serta keselamatan pengguna.
Menerusi Kempen #MYJalan KKR yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 24 Ogos lalu, satu tindakan menyeluruh sedang dilaksanakan membabitkan Kementerian Pengangkutan.
Antara lain, ia bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang dan memastikan isu kerosakan jalan disebabkan kenderaan lebih muatan dapat dikurangkan.