Lebih 1,000 'black spot' di kenal pasti di seluruh negara

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti lebih 1,000 lokaliti dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi atau 'black spot' yang memerlukan penambahbaikan segera dari segi infrastruktur dan keselamatan jalan raya.

Menterinya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kebanyakan kawasan berkenaan membabitkan jalan persekutuan, selekoh tajam, sistem pencahayaan yang tidak mencukupi serta permukaan jalan yang rosak.
JAECOO Q4 MREC Banner Campaign November Starting: 3rd Nov

Katanya, baru-baru ini sebanyak 300 batang lampu solar dipasang di sepanjang jajaran Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan berisiko tinggi yang sering mengalami kemalangan akibat keadaan gelap.

"Bagaimanapun, pemasangan lampu solar ini dibuat secara berfasa bermula dengan lokasi 'black spot' iaitu lokasi kerap berlaku kemalangan terutamanya pada waktu malam.

"Kita belum mempunyai dana yang mencukupi untuk mencerahkan keseluruhan jajaran jalan. Oleh itu, kita pilih lokasi-lokasi strategik untuk dilaksanakan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Feri Sri Tanjong 1 di JKR Feri Pengkalan Kubor, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, pemasangan lampu solar dilihat memberi impak positif apabila berfungsi dengan baik sejak dipasang JRTB Gerik-Jeli.

"Justeru, kami sedang berusaha untuk mendapatkan tambahan dana daripada Kementerian Kewangan bagi memperluaskan inisiatif ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Feri Sri Tanjong 1 yang dilancarkan pada Sabtu adalah satu mercu kejayaan dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan negara dengan kos pembinaan sebanyak RM7.90 juta.

Katanya, feri baharu ini menggantikan feri sedia ada yang sudah beroperasi selama 34 tahun.

"KKR komited untuk memastikan rakyat menerima manfaat daripada projek yang dilaksanakan melalui penyediaan perkhidmatan pengangkutan air yang lebih selesa, selamat dan efisien.

"Pada masa yang sama, ia turut membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan jaringan pengangkutan strategik yang menyambungkan sempadan negara, di samping mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand," katanya.

Katanya, perkhidmatan feri yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai di Selatan Thailand ini bukan sekadar pengangkutan fizikal, malah menjadi nadi penyatuan dua komuniti rentas sempadan dalam memperkukuhkan perdagangan serta menyuburkan hubungan budaya.

Harian Metro