Beliau mensasarkan menjelang tahun 2030, lebih kurang 100,000 unit kenderaan baharu yang dijual setahun adalah dari kenderaan xEV.
Buat masa sekarang, negara mempunyai 900 poin pengecaj EV dan jumlah itu bakal meningkat kepada 10,000 poin menjelang 2025, seperti apa yang dirancangkan dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon negara.
Nik Nazmi Bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga mengumumkan bahawa Malaysia akan meningkatkan penghasilan tenaga elektrik dari sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Pembekalan Elektrik 2021-2039.
Perancangan itu akan memperkukuhkan lagi grid bekalan elektrik untuk mewujudkan ekosistem EV yang lebih maju.
Perodua juga diberitakan dalam usaha untuk menghasilkan kenderaan EV mereka sendiri, tanpa bantuan dari rakan kongsi Jepun mereka.
Menurut informasi dari sumber Careta, Perodua dikatakan bekerjasama dengan syarikat-syarikat pembuatan komponen tempatan dan juga penghasil komponen automotif luar negara.
"Sasaran Perodua ialah untuk menghasilkan kenderaan EV mampu milik bagi negara dan kemungkinan rantau Asean," ujar sumber Careta itu lagi.
EV adalah satu cabaran yang besar untuk industri automotif kerana pembinaannya lebih ringkas dan jumlah komponen yang jauh lebih rendah.
Sesiapa yang mempunyai teknologi bateri, motor elektrik serta sistem pengawasan bateri sudah cukup untuk menghasilkan sebuah EV. Ini bermakna lebih ramai syarikat bukan automotif mampu masuk ke pasaran tersebut.
Sekiranya Malaysia atau Asean mahu menerajui industri EV, perlu ada sekatan dari segi teknologi dan komponen kerana jika tidak, pasaran ini akan dibanjiri oleh syarikat asing sahaja.