Siapa “Feds” Yang Siasat Tesla?
Dalam laporan berita AS, perkataan “Feds” merujuk kepada pihak berkuasa persekutuan khususnya National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), iaitu agensi keselamatan jalan raya di bawah Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat.
Agensi ini minggu lalu menghantar surat rasmi kepada Tesla, menuntut akses kepada dokumen dalaman syarikat termasuk aduan pengguna, rekod kemalangan dan data teknikal berhubung kegagalan pemegang pintu elektronik pada Model 3 dan Model Y.
Aduan Meningkat Selepas Siasatan Dibuka
Sejak NHTSA melalui Office of Defects Investigation (ODI) membuka kertas siasatan pada September, jumlah aduan meningkat dengan cepat. Pada awal siasatan, ada sembilan laporan. Kini sudah 16 aduan rasmi.
Masalahnya sama: apabila bateri 12-volt gagal atau hilang voltan, pintu luar tak boleh dibuka kerana bergantung kepada sistem elektronik.
Apabila Yang Terperangkap Ialah Anak Kecil
Tesla memang menyediakan “mechanical emergency release” di bahagian dalam pintu, tetapi itu langsung tak membantu bila penumpang belakang ialah bayi atau kanak-kanak kecil yang terikat dalam car seat.
Antara insiden paling serius berlaku di Florida, apabila seorang ibu bapa mendapati bayinya “terperangkap” dalam kereta ketika cuaca mencecah 27°C. Mereka terpaksa menghubungi 911 untuk bantuan kecemasan.
Di Santa Barbara, California, pasukan penyelamat pula terpaksa memecahkan tingkap Tesla untuk menyelamatkan seorang bayi yang ditemui berpeluh dan menangis dalam car seat. Bayi itu kemudian dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.
Ada juga pemilik yang terpaksa menunggu sehingga 30 minit untuk trak tunda datang ‘jump-start’ bateri sebelum pintu boleh dibuka semula.
Pihak Berkuasa Syak Jumlah Kes Sebenar Lebih Tinggi
Disebabkan pola aduan yang meningkat selepas siasatan diumumkan, NHTSA percaya ramai pemilik mungkin tidak membuat laporan rasmi. Oleh itu, dalam surat bertarikh 27 Oktober, mereka meminta Tesla menyerahkan:
-
Rekod aduan pelanggan
-
Laporan dari pusat servis dan teknikal
-
Rekod kemalangan, kebakaran atau kecederaan melibatkan masalah pemegang pintu
-
Rekod saman, sama ada yang masih aktif atau telah selesai
-
Tuntutan waranti
-
Hasil ujian dalaman
-
Sebarang kajian atau perubahan reka bentuk sistem pintu
Model Yang Terlibat & Kemungkinan Recall Besar-Besaran
Siasatan tertumpu kepada Model Y tahun 2021, tetapi Tesla diminta mengemukakan data bagi model “setara” lain, iaitu:
-
Model Y 2020–2022

-
Model 3 2017–2022

Jika NHTSA mendapati sistem pemegang pintu elektronik ini berisiko kepada keselamatan awam, Tesla boleh diarahkan membuat recall besar-besaran melibatkan jutaan unit.
Buat masa ini, Tesla masih belum mengeluarkan kenyataan baharu mengenai perkembangan siasatan tersebut.
Sumber:
More Parents Say Tesla’s Doors Trapped Their Kids As Panic Set In – Carscoops carscoops.com