"JSPT menyambut saranan kerajaan bagi menggunakan konsep pembayaran tanpa tunai untuk masyarakat mudah membayar saman melalui aplikasi ini dan ia dibuktikan apabila kutipan kompaun meningkat berbanding tahun lepas iaitu RM37,594,840 melibatkan 207,217 saman.
"Masyarakat juga tidak perlu ke kaunter untuk membayar saman dan diharap dalam tempoh tiga tahun akan datang kita dapat kurangkan atau tidak perlu gunakan kaunter. Tiga hingga lima anggota yang ditugaskan di kaunter dapat digunakan untuk tugas penguatkuasaan," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau turut menyarankan agar aplikasi MyBayar Saman dinaik taraf bagi pembayaran melibatkan PDRM iaitu pembaharuan lesen senjata, salinan laporan dan sebagainya.
Sementara itu, katanya dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas juga, 394,890 kemalangan melibatkan 4,366 kematian direkodkan dengan pengguna motosikal mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,641 orang.
"Dua pertiga daripada jumlah kemalangan ini melibatkan motosikal dengan purata usia mereka antara 14 hingga 25 tahun.
"Siasatan kita juga mendapati ada kemalangan melibatkan motosikal tiada kesan brek dan ini menunjukkan mereka tiada usaha untuk memberhentikan kenderaan, malah ada yang melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon menyebabkan mereka tidak fokus kepada pemanduan," katanya.
Bagi tempoh sama juga, Mat Kasim berkata 296,451 kertas siasatan dibuka dengan 93.28 peratus telah selesai dengan 244,206 pertuduhan telah dibuat.
Dalam pada itu, menurutnya 17,241 kenderaan perdagangan telah diperiksa dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan dari 20 Sept hingga semalam.
Katanya daripada jumlah itu, 5,897 melibatkan lori, 652 bas dan selebihnya lain-lain kenderaan dengan 35 daripadanya disita.
Beliau berkata seramai 34 pemandu turut ditahan termasuk 27 orang melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, enam (Akta Pengakutan Jalan 1987) dan satu (Kanun Keseksaan), selain 35 kenderaan turut disita.
"Pemandu kenderaan berat diingatkan supaya memastikan ciri keselamatan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan terbaik dan pemandu sentiasa siap siaga.
"Kita faham kenderaan berat yang mempunyai bebanan, kadar momentum untuk diberhentikan mungkin akan mengambil masa ataupun tidak dapat diberhentikan dalam jarak yang terlalu dekat," katanya.
Menurutnya 3,462 saman turut dikeluarkan kepada kenderaan perdagangan dengan pelbagai kesalahan dikesan sepanjang operasi itu yang dijalankan di 441 lokasi di seluruh negara melibatkan 2,613 kekuatan pegawai dan anggota.