Lebih separuh pemandu Malaysia tidak mempunyai perlindungan kerosakan akibat banjir

oleh Mohamad Hanif|
Malaysia merupakan antara negara yang kerap mengalami musim tengkujuh, dan lebih membimbangkan apabila kajian terbaharu mendapati sebilangan besar rakyat Malaysia tidak bersedia langsung untuk menghadapi musim tersebut.
BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023

Kajian daripada Zurich Malaysia mendapati 59 peratus pemandu Malaysia tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir.

Dapatan ini sememangnya satu perkara yang membimbangkan, terutama ketika musim Monsun Timur Laut yang melanda dari bulan November hingga Mac tahun depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada beberapa buah negeri yang dijangka mempunyai taburan hujan yang lebih tinggi antara 450 mm dan 1,000 mm untuk dua bulan terakhir tahun ini.

Selain itu, kajian Zurich turut mendapati satu daripada tiga pengguna jalan raya (34 peratus) sahaja yang mempunyai perlindungan ribut termasuk pokok tumbang, dan hanya 29 peratus sahaja pengguna mendapatkan perlindungan dari tanah runtuh.

Kaji selidik ini turut mendapati 38 peratus rakyat Malaysia masih lagi menggunakan khidmat ejen untuk memperbaharui insurans dan takaful kenderaan, meskipun sudah tersedia portal dalam talian untuk berbuat demikian.
 

ZURICH


Sementara itu, 43 peratus rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan platform dalam talian, dan 16 peratus masih memilih untuk mengunjungi kiosk atau pejabat pos untuk membaharui insurans atau takaful kenderaan.

Dari segi perlindungan insurans, kebanyakan rakyat Malaysia memilih pelan yang meliputi semua pemandu (36 peratus) dan bukannya pemandu yang dinamakan dalam polisi (34 peratus).

Sesetengah rakyat Malaysia pula mendapatkan perlindungan yang sah untuk memperbaharui cukai jalan, dan tidak mengejutkan apabila 47 peratus daripada responden melaporkan mereka tidak pasti kandungan pelan perlindungan yang diambil.

Kajian terbaharu yang dijalankan oleh Zurich Malaysia pada September 2021 lalu melibatkan 1,201 rakyat Malaysia di seluruh negara, di mana 990 daripadanya merupakan pemilik kenderaan.

Ia merupakan salah satu usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan, dan membawakan pelan perlindungan yang lebih sesuai dengan keperluan gaya hidup semasa.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kejadian banjir ini berlaku pada tahun 2007, 2014 dan dua kali pada 2021 iaitu pada bulan Januari…
Informasi
  "Itu setakat dua minggu lepas. Sekarang bila banjir sudah surut, kita akan lakukan sekali lagi…
Berita Domestik
  "Saya berharap peruntukan khas bagi pembaikan jalan persekutuan iaitu Lebuhraya Pasir Gudang dan…