Serentak dengan itu, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pengecualian pembayaran tol kepada pengguna berkuatkuasa tengah malam ini hingga 2 Januari 2024.
Seksyen 6 WCE itu akan bermula dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa yang akan menghubungkan terus pengguna dari Kapar ke Assam Jawa.

Pembukaan Seksyen 6 WCE ini dijangka akan menjimatkan masa perjalanan kepada 15 minit sahaja, berbanding 45 minit menggunakan laluan sedia ada.
Selain daripada itu, ia juga mempunyai sambungan secara terus dengan Lebuhraya LATAR yang menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna.

Pengguna juga kini boleh melawati destinasi pelancongan dengan lebih mudah seperti contoh Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan, selain merancakkan lagi pertumbuhan sosio-ekonomi komuniti setempat.
Sebelum ini, sebanyak empat seksyen WCE telah dibuka, melibatkan tiga seksyen di Negeri Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir – Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin - Beruas), serta satu seksyen di Negeri Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan - Bandar Bukit Raja Utara).