Menurut jurucakap polis daerah Unna, Bernd Pentrop, kereta itu terbakar serta-merta dan tiga mangsa di dalamnya tidak dapat diselamatkan. Seorang lagi kanak-kanak sempat keluar dari kenderaan tersebut dan kini dirawat di hospital selepas dipindahkan dengan helikopter.
Masalah Pintu Tesla Jadi Isu
Saksi tempatan dilaporkan cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal kerana tidak dapat membuka pintu kereta. Hal ini sekali lagi menimbulkan perhatian terhadap reka bentuk pemegang pintu Tesla.
Tesla dan beberapa pengeluar kereta moden menggunakan flush door handle atau retractable handle, iaitu pemegang pintu yang rata dengan badan kereta untuk tujuan aerodinamik. Pemegang ini hanya akan keluar secara automatik apabila kereta didekati atau disentuh. Namun, jika bekalan elektrik terputus contohnya akibat kemalangan atau kebakaran, sistem ini boleh gagal berfungsi, menyebabkan pintu sukar dibuka dari luar.
Selain Tesla, ramai lagi pengeluar lain turut menggunakan konsep sama antaranya:
- Jaguar F-Type, I-Pace
- Land Rover / Range Rover Velar, Evoque, Range Rover terkini
- Mercedes-Benz EQS, EQE, S-Class W223
- BMW iX, i4, 7 Series G70
- Aston Martin DB11, DBX
- Lucid Air
- Rivian R1T, R1S
Malah, pengeluar dari China juga pantas mengikut trend ini pada model EV mereka:
- BYD Seal, Han
- NIO ET5, ET7, ES8
- XPeng P7, G9
- Li Auto L7, L9
- Geely Zeekr 001, 009
- Hongqi H9, E-HS9
Walaupun reka bentuk ini memberikan rupa futuristik dan membantu meningkatkan aerodinamik, ia menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan kerana boleh menyukarkan operasi menyelamat semasa kecemasan.
Siasatan dan Tindakan
Polis Rhine-Westphalia Utara kini menjalankan analisis penuh bagi menentukan punca sebenar tragedi tersebut. Pihak berkuasa Amerika Syarikat melalui National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) juga sudah membuka siasatan ke atas kira-kira 174,000 unit Tesla Model Y tahun 2021, khususnya membabitkan masalah pemegang pintu elektronik.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, dilaporkan sedang meneliti reka bentuk semula pemegang pintu selepas menerima kritikan. Ketua reka bentuk Tesla, Franz von Holzhausen, mengesahkan kepada Bloomberg bahawa syarikat sedang mencari penyelesaian selepas peningkatan laporan kejadian penumpang gagal keluar ketika kecemasan.
Bagaimanapun, manual Tesla menyatakan pintu boleh dibuka secara manual dari dalam. Namun, arahan yang rumit dan kurang difahami pemilik dikatakan menjadi faktor tambahan yang memburukkan keadaan semasa insiden.
Tragedi ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keselamatan reka bentuk kereta elektrik moden, terutama apabila teknologi yang sepatutnya memberi kemudahan bertukar menjadi penghalang nyawa diselamatkan.
Sumber: Daily Mail
https://www.dailymail.co.uk/news/article-13839355/tesla-fire-crash-germany-trapped.html