Lelaki maut nahas enam motosikal disyaki lumba haram

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram maut dalam nahas membabitkan enam motosikal di Kilometer 187.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Bukit Merah awal pagi tadi.

Penunggang berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lima rakannya mengalami kecederaan.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima sekitar jam 1.50 pagi melibatkan enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.

"Nahas menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia, lima penunggang lain pula telah dirujuk ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan lanjut," katanya. 

Mohd Yusri berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi di talian 05-7210539/013-6200564.

Tambah beliau, pengguna jalan raya terutama golongan remaja dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram.

"Mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika disabitkan kesalahan," katanya.