Lesen B penuh: PPKJR bimbang kemalangan motosikal kuasa tinggi meningkat

oleh Penyumbang Rencana|
foto Metro Driving Academy
Program peralihan khas Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal kelas B1 atau B2 kepada lesen B penuh dalam jangka waktu panjang dikhuatiri meningkatkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan motosikal berkuasa tinggi.

Pengasas dan Penasihat KJR dan Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata jika proses permohonan dan syaratnya tidak diperketatkan terutama dari aspek kompetensi dalam mengendalikan motosikal berkuasa tinggi, ia juga bakal menjadi punca kepada peningkatan kes kemalangan jalan raya di masa mendatang.

Katanya, banyak faktor perlu diambil kira termasuk kaedah atau teknik penunggangan kerana ia berbeza mengikut berat jentera atau kuasa enjin (cc) motosikal.

"Pengendalian motosikal berkuasa tinggi sangat memerlukan kemahiran yang cekap dan kawalan kelajuan baik.

"Kalau sekadar menghadiri dan lulus program peralihan dan penyesuaian kepada kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) membabitkan program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pemanduan atau pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam, ia tidak memadai untuk menjadikan seorang penunggang itu terus mahir untuk mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

"Ini akan memberikan kesan yang negatif kerana syarat yang ditawarkan tidak begitu ketat bagi seseorang penunggang untuk dinaikkan taraf kepada B penuh," katanya kepada Berita Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat dilaporkan, pemegang LLM kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas, layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata pemohon bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan.

Antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di IM dengan kos yuran sebanyak RM160.

Selain itu, pemohon juga perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam.

Mengulas lanjut, Jamil berkata tempoh masa dua jam juga tidak memadai kerana pemohon sepatutnya perlu diberikan pendidikan dan pengetahuan secara komprehensif serta latihan kemahiran secara intensif.

"Untuk tujuan ini, latihan secara praktikal dan ujian khas perlu diwajibkan dengan mengambil kira waktu yang lebih panjang bagi menilai keupayaan kemahiran menunggang dan keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa tinggi di dalam situasi mencabar.

"Ianya perlu banyak latihan dan memerlukan jangka waktu yang panjang. Justeru, disarankan kepada kerajaan supaya mengemaskini kaedah untuk naik taraf LMM ke B.

"Ini supaya dapat memberikan impak positif serta berupaya melahirkan penunggang yang bertanggungjawab, berhemah dan berkualiti serta tidak timbul isu keselamatan di kemudian hari," katanya.

Jamil berkata berdasarkan tinjauan, rata-rata masyarakat terutamanya pengguna jalan raya yang sudah memiliki LMM B penuh berpendapat proses yang mereka sudah lalui lebih sukar.

"Pengguna berpendapat kelonggaran syarat yang diberikan atau ditawarkan untuk naik taraf LMM B1 dan B2 kepada B belum tentu menjanjikan atau melayakkan seseorang penunggang menjadi penunggang yang berkualiti dan berhemah," katanya

Jamil berkata Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (KEJARA) juga perlu dijadikan kayu pengukur sebagai salah satu syarat kelayakan.

"Sebagaimana yang kita sedia maklum, 65 peratus kluster penunggang motosikal dari golongan remaja berumur 16 hingga 35 adalah kalangan mereka yang banyak terkorban.

"Justeru, diharapkan bukanlah jalan mudah bagi golongan tertentu sahaja (mendapat lesen) tanpa mengambil kira kesan jangka panjang yang lari daripada matlamat asal Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MRSP)," katanya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengasas dan Penasihat Ke­selamatan Jalan Raya Serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan…
Berita Domestik
Antara saranan beliau adalah, meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk mengambil kira masa…
Berita Domestik
Katanya, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) perlu telus memastikan kenderaan…