Lama di pasaran bermakna Lexus telah memperbaharuinya beberapa kali dan terbaru membawakan spindle grille dan menonjolkan sisi mewah seperti model Lexus lain.
GX 460 digerakkan enjin 4.6 liter V8 yang menghasilkan 301 kuasa kuda (hp) dan tork 446Nm.
Enjin itu dipadan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan empat roda sepenuh masa.
Berkongsi komponen dengan Land Cruiser bermakna GX 460 juga boleh dibuat lasak dan menonjolkan karakter tersebut ialah GX 460 Overland Concept.
Untuk projek one-off ini Lexus telah bekerjasama dengan Cruiser Outfitters dari Utah, Amerika Syarikat dan diubah suai dari GX 460 Blackline Edition 2022.
Suspensi asal ditanggal dan diganti dengan set Old Man Emu BP-51 yang menambah ketinggian badan selain untuk menampung pelbagai perkakasan off-road.
Turut dipasang lengan kawalan atas dari Old Man Emu. Satu yang menarik, rim SUV ini bukan jenis aksesori luar tetapi dari Lexus F Sport dengan saiz 18 inci.
Rim itu dipadan bersama tayar Toyo Open Country MT LT saiz 275/65.
Dengan gril spindle yang membentuk identiti Lexus agak janggal jika ditanggal dan diganti bampar besi seperti kebiasaan kenderaan off-road.
Untuk itu, bampar dari CBI dipasang dan nampak sepadan dengan identiti Lexus.
Turut dipasang winc Warn 9.5XP dan bahagian bawah SUV ini dilindungi plat dari CBI.
Sebagai SUV konsep untuk kembara dunia, pelbagai kelengkapan dipasang seperti laci dari Goose Gear, rak dan meja dari Kaon dan peti sejuk dari ARB.
Untuk merehatkan badan, set khemah bumbung Yakima SkyRise dipasang di atas rak CBI Prinsu.
Banyak lagi perkakasan pada SUV ini seperti kotak bumbung Alubox 42 liter, pemampat udara ARB dan sistem komunikasi Yaesu 2M.
Satu perkara yang begitu menyerlah pada GX 460 Overland Concept ini ialah warna badan yang bling-bling!
Bukan cat tetapi balutan Turqoise Lavender!
Penulis: Muhammad Md Tajudin