Dari segi dimensi, Lexus LBX diposisikan di bawah model Lexus UX, sekaligus bertindak sebagai model aras mula yang menggantikan hatchback CT secara tidak langsung.
Ia membawakan ukuran sepanjang 4,190 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,545 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,580 mm, sedikit besar berbanding Yaris Cross walaupun menggunakan platform TNGA-B yang sama.
Namun begitu, LBX tetap membawakan bahasa rekaan yang sama seperti adik beradik SUV yang lain termasuklah rekaan jeriji yang menyamai Lexus RX, lampu utama serba baharu dengan DRL yang tajam, serta lampu belakang yang lebih elegan.
Kesemua varian LBX didatangkan dengan set rim bersaiz 18 inci secara standard.
Bergantung kepada spesifikasi, pembeli LBX boleh mendapatkan enjin hibrid tiga silinder 1.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 134 hp dan 185 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan roda depan atau pacuan semua roda.
Tetapan suspensi juga bergantung kepada pemilikan konfigurasi pacuan, di mana versi FWD mendapat tetapan suspensi belakang torsion beam manakala versi AWD pula mendapat tetapan double wishbone!
Untuk mengekalkan berat sekitar 1,280 kg, Lexus telah menggunakan hud aluminium, serta beberapa komponen lain daripada bahan resin.
Susun atur papan pemuka Toyota Yaris Cross telah digantikan dengan rekaan papan pemuka yang lebih mesra Lexus.
Terdapat skrin kluster digital bersaiz 12.3 inci, sokongan paparan head-up, skrin tengah bersaiz 9.8 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Mark Levinson dengan 13 unit pembesar suara yang tersedia.
Selain daripada beberapa pilihan trim dan kemasan yang ditawarkan, Lexus LBX juga turut menampilkan tombol gear shift-by-wire, serta ciri e-Latch yang sebelum ini muncul pada model Lexus NX dan juga RX.
Ruang kargo adalah sebesar 332 liter (untuk varian FWD), sementara varian AWD pula dijangka menawarkan ruang barangan yang sedikit kecil disebabkan oleh pemasangan sistem suspensi yang lebih kompleks.
Sebagai perbandingan, Lexus UX mempunyai ruang kargo sebesar hanya 271 liter sahaja.
Lexus LBX 2024 dijangka akan memasuki fasa produksi menjelang akhir tahun ini, dan mula dijual di Eropah pada awal tahun 2024.