
Enjin 1.5 liter tiga silinder hibrid asal diganti dengan sebuah lagi enjin tiga silinder. Dari M15A-FXE kepada G16E-GTS 1.6 liter turbo yang terlebih dahulu diguna pada GR Yaris.
Agak gila untuk sebuah SUV mewah dikacuk bersama nadi kereta rali. Stigma yang mengatakan Toyota membosankan boleh dibuang jauh.
Tidak hanya sekadar pasang siap, Lexus telah membuat penalaan semula pada komponen pengendalian dan membentuk ciri aerodinamik baharu.
Bagaimana hebat sekalipun, Lexus perlu kekal membawa identiti dan tingkah laku sebuah Lexus.

Bagi memastikan pengawalan di atas pelbagai permukaan jalan berada pada tahap tinggi Lexus menggunakan Response-Enhancing Damping Structure (REDS).
REDS digunakan pada lengan bawah depan dan meningkatkan tindak balas semasa redaman.
Turut diberi perhatian ialah pengawalan bunyi dan gegaran termasuk ketika pemanduan berprestasi.
Bunyi bising dari luar dan gegaran tidak tentu hala adalah perkara yang tidak mahu didengari dan dirasai di dalam Lexus.

Memandangkan GR Yaris menggunakan kotak gear automatik, adakah LBX Morizo RR juga sama? Jawapannya ya iaitu Direct Shift 8AT selain manual enam kelajuan (6 iMT).
Ini bukan kotak gear automatik biasa kerana dibangunkan untuk prestasi. Pacuan yang digunakan jenis semua roda (AWD) sepenuh masa kawalan elektronik.
Dari segi rekaan, bampar depan tampil garang dengan bukaan kiri dan kanan menemani jeriji spindle Lexus.
SUV ini direka berdasarkan konsep Premium Casual bagi menggalakkan pemilik menggunakannya di dalam kehidupan seharian.

Ciri aerodinamik diberi perhatian dan menariknya mempunyai liang NACA pada penutup enjin bawah.
Di sebalik ciri aerodinamik, SUV ini tidak menggunakan spoiler tinggi atau labuh di belakang. Penggunaan spoiler bukan menjadi kewajipan dan bergantung pada keadaan.
Bercakap tentang spoiler, pada Januari lalu Careta memaparkan mengenai Lexus RZ450e Special Edition F SPORT Performance.
SUV itu dilengkapi dua spoiler bertingkat dan program pembangunannya turut melibatkan pelumba Rookie Racing, Masahiro Sasaki.

Beliau sekali dilibatkan di dalam pembangunan LBX Morizo RR.
Untuk 100 buah Bespoke Build, pelanggan boleh memesannya dengan pelbagai ciri istimewa.
Sebagai contoh angkup brek warna kuning signatur Morizo, warna dalaman dan tali pinggang keledar dan pelbagai lagi.
Tujuannya untuk mewujudkan kenderaan kasual mewah dan pemilik bersemangat untuk memandu pada hari minggu seperti sniker kegemaran.

Undian untuk Bespoke Build sudah dibuka dan hanya berlangsung sehingga 31 Julai 2024.
LBX Morizo RR dijual pada harga 6,500,000 yen (RM193,112) dan 7,200,000 yen (RM213,902) untuk Bespoke Build.
Ciri-ciri Lexus LBX Morizo RR
Enjin dan prestasi:
- G16E-GTS 1.6 liter turbo, 3 siliinder
- 304 ps @ 6,500 rpm
- 400Nm @ 3,250 - 4,600 rpm
- 0 - 100 km/j 5.2 saat
Ukuran (berbanding LBX HEV):
- Panjang: 4,190 mm
- Lebar: 1,840 mm (+15)
- Tinggi: 1,535 mm (-10)
- Jarak roda: 2,580 mm
Berat: 1,440 kg (MT), 1,470 kg (AT)
Tayar: 235/45R19
Penulis: Muhammad Md Tajudin
