Lexus LF-Z dibangunkan menggunakan platform kenderaan elektrik bateri yang menampilkan sistem pacuan semua roda DIRECT4 - terdiri daripada motor elektrik yang mengutamakan kadar tindak balas segera untuk mengawal setiap roda.
Menurut Lexus, sistem ini boleh diubahsuai untuk menjadi sebuah kenderaan pacuan roda hadapan, belakang, atau konfigurasi semua roda.
Aspek kawalan stereng pula menggunakan sistem steer-by-wire, ini bermakna tiada sebarang hubungan mekanikal antara roda stereng (setengah) dengan roda.
Dari segi luaran, Lexus LF-Z Electrified Concept membawakan rekaan seakan crossover coupe, dengan bahagian hadapan menampilkan evolusi gril spindle Lexus yang tertutup, memandangkan tiada sebarang enjin pembakaran dalaman dimuatkan pada model ini.
Selain daripada itu, ia turut menampilkan jarak overhang depan dan belakang yang pendek dan rekaan roda yang agak besar, sementara ruang belakang pula terdapat unit lampu LED yang kompleks serta lampu brek ketiga yang diposisikan menegak pada bampar belakang.
Ruang kabin pula direka dengan menggunakan konsep 'Tazuna' yang mengambil inspirasi daripada hubungan antara kuda dan penunggangnya (sama macam Jinba Ittai Mazda?), di mana rekaan papan pemuka berorientasikan pemandu, rekaan stereng stail yoke (ingat Tesla Model S?) dan sistem paparan head-up yang kompleks.
Selain daripada itu, tiada sebarang informasi lanjut berhubung angka output yang bakal menggerakkan Lexus LF-Z Electrified Concept ini.