Lexus LM 2023 diperkenal, 4, 6 dan 7 kerusi, model pertama untuk Eropah dan Jepun!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lexus LM Prototype
Lexus LM Prototype
Bukan kereta sport, boleh buka bumbung atau paling laju di dunia tetapi Toyota dan Lexus berjaya membuatkan peminat ternanti-nanti van atau kenderaan pelbagai guna (MPV) Alphard, Vellfire dan LM baharu.

Alphard dan Vellfire dekat di hati pengguna tempatan dan mempunyai status tersendiri.

Model itu juga berjaya meledakkan segmen MPV besar dan mewah di China yang kini ditawarkan pelbagai pengeluar di sana.

Malah, Zeekr yang merupakan jenama di bawah Geely turut mempunyai MPV besar dan canggih dengan rangkaian kuasa elektrik.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Lexus LM Prototype

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, abang besar sudah mari dan inilah Lexus LM baharu yang diperkenalkan di Shanghai, China.

Berbeza dengan generasi pertama, LM akan ditawarkan di lebih 60 buah negara di serata dunia dan pertama kali di Eropah dan Jepun!

Dengan kecenderungan pengguna Eropah memilih kereta hatchback, adakah LM mempunyai potensi?

Kenapa tidak? Mercedes-Benz menawarkan MPV V-Class sejak sekian lama dan tiada saingan dari BMW atau Audi.

 

Lexus LM Prototype

 

LM membawa kemewahan dan nilai universal untuk mana-mana pasaran. Maklumat rangkaian kuasa ringkas sahaja dan tiada lagi enjin 3.5 liter V6 sebelum ini.

Lexus hanya menawarkan enjin hibrid untuk Luxury Mover ini membawa keluarga atau individu penting dengan pilihan empat atau tujuh kerusi.

Enjin 2.4 liter turbo hibrid, 2.5 liter hibrid

Di China ada dua pilihan enjin, 2.4 liter turbo hibrid dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menggerakkan roda depan dan motor eAxle pada roda belakang.

 

Lexus LM Prototype

 

Satu lagi pilihan enjin ialah 2.5 liter hibrid naturally-aspirated dengan pacuan depan atau gandar belakang E-Four.

Pakej rangkaian kuasa itu menggerakkan rim 19 inci dengan tayar 225/55 atau 17 inci bersama tayar 225/65.

Saiz lebih besar

Berbanding LM generasi pertama, model baharu mempunyai saiz lebih besar. Ukuran panjang bertambah 85 mm kepada 5,125 mm dan 40 mm lebih lebar kepada 1,890 mm.

Ukuran tinggi bertambah 10 mm kepada 1,955 mm manakala jarak roda kekal pada 3,000 mm.

 

Lexus LM Prototype

 

Badan lebih tegar

Cabaran untuk sebuah MPV ialah mendapatkan badan yang tegar dan terletak pada reputasi jenama Lexus itu sendiri.

Tidak seperti kereta sedan atau kenderaan utiliti sukan (SUV), MPV sebegini mempunyai pintu gelangsar yang besar.

Para jurutera telah mengukuhkan struktur menggunakan pendakap pada bahagian sokongan radiator, bawah lantai belakang dan struktur jumpelang (rocker) yang lurus.

 

Lexus LM Prototype

 

Tetiang sukuan turut diperkukuh dan perekat struktur diguna pada bahagian atas badan dan lantai yang membantu bagi mengurangkan gegaran.

Kerja-kerja pengukuhan badan menyumbang kepada ketegaran kilasan (torsional rigidity) 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Pembangunan kerusi

Supaya senang dan tenang, pergerakan badan dianalisa dengan mendalam tidak kira kerusi mana diduduki. Inilah Lexus.

Perhatian khas diberi bagi mengurangkan pergerakan kepala dan menstabilkan garis pandangan.

 

Lexus LM Prototype

 

Pembahagian tekanan pada permukaan kusyen kerusi depan dioptimum bagi memegang badan tidak kira berapa daya G yang terhasil semasa membelok.

Perhatian itu diberi bagi mengurangkan keletihan dan mewujudkan komunikasi di antara pemandu dengan kereta.

Untuk kerusi baris kedua, dua jenis bahan serap hentak dengan karakteristik berbeza digunakan sebagai sokongan kepada penumpang dari pegun hingga kereta bergerak.

Bagi model LM tiga baris tempat duduk, kerusi belakang mempunyai sandaran dan kusyen yang tebal untuk penumpang dewasa duduk dengan selesa.

 

Lexus LM Prototype

 

Suspensi AVS, pemanduan berkualiti

Buat kali pertama, Lexus menggunakan sistem "AVS Suspension with Frequency-Sensitive Piston Valve". 

Sistem itu menggabungkan penggerak (actuator) Suspensi Adaptif Boleh Ubah (AVS) dan injap omboh yang sensitif pada frekuensi di dalam penyerap hentak.

Sistem itu memberikan pemanduan berkualiti pada sebarang kelajuan dengan meredam dan mengurangkan gegaran dalam julat gerakan (frekuensi) yang besar.

 

Lexus LM Prototype

 

Juga pertama kali digunakan untuk kenderaan Lexus, mod pemanduan Rear Comfort lebih cenderung kepada keselesaan kerusi belakang.

Karakteristik daya redaman sistem AVS ditetapkan untuk memberi keutamaan pada keselesaan kerusi belakang.

Kawalan bersama di antara pedal minyak dan brek mengurangkan perubahan kedudukan kereta semasa memecut dan membrek.

Apa yang Lexus buat ialah pastikan penumpang tidak tersengguk ke depan dan belakang semasa LM dipecut dan diperlahankan.

Lexus Tazuna Cockpit, 4, 6 atau 7 kerusi

 

Lexus LM Prototype


Bahagian depan dibuat mengikut konsep Lexus Tazuna Cockpit dan tampil dengan panel instrumen ringkas dan konsol untuk fokus pada pemanduan.

Tidak hanya eksklusif untuk dua penumpang di belakang, Lexus bersikap pemurah dengan menawarkan pilihan enam atau tujuh kerusi.

Model empat kerusi pula semestinya lebih istimewa dengan tingkap pemisah dan skrin lebar saiz 48 inci.

Selain tingkap boleh turun dan skrin besar, bahagian tengah juga menempatkan peti sejuk dan ruang simpanan.

 

Lexus LM Prototype

 

Satu lagi yang menepati ciri premium ialah nyalaan lampu dan LM mempunyai 64 pilihan warna yang merangkumi 14 warna tema dan 50 warna pilihan sendiri (custom).

Pusat kawalan ditempatkan pada skrin sentuh boleh tanggal untuk melaras pelbagai fungsi seperti Rear Climate Concierge, kerusi, audio dan pencahayaan.

Rear Climate Concierge ialah kawalan bersepadu untuk penyaman udara, kedudukan kerusi, pencahayaan dan penahan cahaya matahari.

Ada lagi ciri canggih untuk model empat kerusi iaitu Warmth-Sensing IR Matrix Sensor yang ditempatkan pada bahagian atas tingkap pemisah.

 

Lexus LM Prototype

 

Sensor itu mengesan suhu penumpang dan bahagian kenderaan yang menjejaskan suhu sekeliling seperti tingkap, kemasan dan siling.

Sistem kemudian menganggarkan tahap kepanasan atau kesejukan penumpang pada empat bahagian iaitu muka, dada, paha dan bahagian bawah kaki.

Tujuannya ialah untuk mengawal penyaman udara dan pemanas kerusi bagi mengekalkan suhu yang selesa pada setiap masa. 

Perehat tangan yang besar bukan sekadar untuk meletakkan tangan, di bawahnya tersimpan meja untuk tablet atau komputer riba dan dibalut kulit dengan tekstur tidak licin.

 

Lexus LM Prototype

 

Lexus Safety System+

LM dilengkapi pelbagai sistem canggih seperti Kawalan Jelajah Radar Dinamik (dengan fungsi jujukan semua kelajuan) dan Pra Pelanggaran (PCS).

Turut dilengkapi Peringatan Penukaran Lorong (LDA), Sistem Respon Pemandu Tidak Normal dan Bantuan Pemanduan Proaktif.

Satu lagi ciri canggih dan bagus ialah Bantuan Keluar Selamat dengan Kawalan Buka Pintu dengan mengesan kenderaan atau basikal yang menghampiri dari belakang.

Sistem akan mengeluarkan amaran dan menghalang pintu dari dibuka!

 

Lexus LM Prototype

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Kehadiran model Denza D9 mampu memberikan cabaran kepada model pesaing seperti Lexus LM, Volvo EM90…
Berita Global
  Berkenaan enjin, hanya satu pilihan yang ditawarkan iaitu 2.5 liter hibrid berkuasa 247 bhp dan…
Berita Global
Generasi keempat Alphard/Vellfire dibangun menggunakan pelantar TNGA-K, dengan tahap ketegaran…