Lexus LX 2022 - generasi baharu Land Cruiser versi mewah

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Land Cruiser 2022 telah pun dilancarkan beberapa bulan yang lalu, dan ia kini menjadi salah satu daripada model SUV terhangat di pasaran - anda perlu menunggu hingga empat tahun dan tidak dibenarkan menjual kembali SUV ini dalam tempoh setahun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bagi mereka yang tidak sabar dengan tempoh menunggu yang terlalu lama itu, Land Cruiser kini mempunyai versi kembar yang lebih mewah, dan sudah pasti harganya juga melonjak tinggi.

Memperkenalkan, Lexus LX 2022.
 

LX


Disifatkan sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan mercu, Lexus LX 2022 sememangnya menampilkan rekaan tipikal yang terdapat pada sebuah Lexus, seperti contoh rekaan gril spindle dengan tujuh bar melintang, liang kemasukan udara yang lebih besar, lampu utama yang nipis serta lampu nyalaan siang LED tiga dimensi.

Disebalik arka roda bersegi itu, Lexus menawarkan pilihan rim bermula dari 18 inci, 20 inci atau yang paling besar 22 inci bergantung kepada varian yang dipilih.

Sementara bahagian belakang, ia menampilkan perubahan hala tuju rekaan Lexus, di mana logo L yang tradisional telah digantikan dengan perkataan LEXUS, sama seperti model NX 2022.
 

LX


Unit lampu belakang juga turut diberikan nafas baharu supaya selari dengan penawaran model-model Lexus semasa.

Dari segi kuasa, Lexus LX 2022 didatangkan dengan enjin baharu 3.5 liter V6 yang mampu menghasilkan 409 hp dan 649 Nm, peningkatan 26 hp dan 103 Nm berbanding enjin 5.7 liter V8 yang asal.

Kuasa tersebut disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan, serta menampilkan gear pertama rendah untuk permulaan pemanduan yang lancar serta prestasi pemanduan off-road yang lebih berkuasa.
 

LX


Sementara ruang kabin pula menampilkan rekaan yang lebih moden disumbangkan oleh penggunaan bahan kulit premium, trim kayu dan juga aksen metalik, diikuti dengan skrin kluster digital dan sistem audio premium Mark Levinson dengan 25 buah pembesar suara.

Skrin infotainmen terdiri daripada dua skrin, salah satu mempunyai saiz tujuh inci dan 12.3 inci, di mana skrin yang lebih besar itu memfokuskan kepada paparan navigasi, kamera dan tetapan audio, sementara skrin yang lebih kecil pula dikhususkan untuk kawalan iklim dan informasi kritikal.

Sama seperti penawaran model Lexus yang lain, LX 2022 boleh didapati dalam versi sporti F Sport, yang menampilkan ciri tersendiri seperti rekaan jeriji, rim aluminium tempa bersaiz 22 inci, tempat duduk sport dan rekaan bertekstur pada bahagian balutan kulit roda stereng.

Selain daripada itu, Lexus LX F Sport 2022 turut membawakan talaan unik pada komponen peredam, diikuti dengan talaan kepada sistem suspensi adaptif boleh ubah dan stereng berkuasa elektrik sebelum diakhiri dengan komponen LSD Torsen.
 

Lexus L


Sementara model LX 600 Ultra Luxury pula menawarkan tempat duduk eksklusif untuk penumpang baris belakang yang lengkap dengan rekaan penghadang kepala, tempat duduk dan kusyen yang mampu menyokong postur badan untuk keselesaan maksimum.

Ia juga menampilkan penggunaan bahan urethane lembut bagi menghalang sebarang pergerakan yang tidak dikehendaki.

Untuk keselesaan maksimum, tempat duduk hadapan boleh dianjak ke hadapan bagi menawarkan ruang kaki sebesar 1,092 mm untuk penumpang belakang, tempat meletak kaki yang boleh dibuka daripada belakang tempat duduk hadapan, serta skrin infotainmen belakang yang boleh dilipat untuk menawarkan pemandangan yang lebih luas.
 

LX


Tempat duduk individu itu diasingkan oleh konsol tengah yang lebar dan menempatkan ciri seperti slot pengecasan peranti pintar nirwayar, tempat meletak cawan bertutup, serta ruang storan yang lengkap dengan slot punca kuasa, port USB dan slot untuk fon kepala.

Terdapat skrin kecil yang boleh digunakan untuk mengawal tetapan tempat duduk serta sistem kawalan iklim.

Berbalik semula kepada casis, Lexus LX 2022 kini lebih ringan 200 kg berbanding model terdahulu, terima kasih kepada penggunaan bahan aluminium pada pintu serta penggunaan platform TNGA-K serba baharu yang lebih tegar 20 peratus.
 

LX


Sistem suspensi hadapan jenis double wishbone didatangkan dengan gegelung spring yang telah dioptimasi, sementara suspensi four-link di belakang pula telah diubah untuk memperbaiki kestabilan dan keselesaan pemanduan.

Malah, kadar rebound stroke telah dipertingkatkan sebanyak 20 mm untuk memastikan ia mampu menawan laluan off-road dengan lebih berkesan.

Ia juga dibantu dengan sudut-sudut mendatang, pelepasan dan breakover yang tidak berubah daripada model terdahulu, keupayaan untuk mendaki cerun 45 darjah, serta meredah air sedalam 700 mm.

Sistem Multi-Terrain Select pula membolehkan pemandu memilih mod pemanduan Auto, Dirt, Sand, Mud, Deep Snow dan Rock, diikuti dengan kawalan khusus untuk pemanduan off-road seperti Crawl Control, Downhill Assist Control dan Multi-Terrain Monitor yang menggunakan empat unit kamera untuk memantau keadaan sekeliling.
 

LX


Lexus LX 2022 juga turut menampilkan ciri Back Underfloor View yang membolehkan pemandu melihat halangan yang ada di bawah lantai yang biasanya terlindung.

Tidak dilupakan, ciri keselamatan Lexus Safety System+ 2.5 yang merangkumi komponen seperti Sistem Pra-Pelanggaran, Amaran Pelanggaran Hadapan, Brek Kecemasan Automatik, Sistem Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal, Kawalan Jelajah Radar Dinamik, Bantuan Pengesan Laluan, Amaran Keluar Laluan dengan Bantuan Strereng, Bantuan Suluhan Tinggi Pintar dan Bantuan Papan Tanda Jalan.

Lexus LX 2022 akan menyerang pasaran US menjelang suku pertama tahun hadapan.