Perjalanan Media Drive Subang Jaya ke Melaka
Pagi itu bermula di showroom Lexus Subang Jaya. Dari jauh lagi, NX 350h Luxury yang berkilau dengan cat Sonic Titanium nampak garang dengan gril spindle ikonik dan lampu LED tajam. Penulis diberikan peluang memandu sendiri SUV ini menuju ke destinasi The Lisbon Hotel, Melaka, sejauh lebih kurang 125 km.
Perjalanan mengambil masa sedikit lebih dua jam. Dari kesibukan lebuh raya keluar KL ke jalan lebih tenang menuju ke selatan, NX 350h menunjukkan karekternya: senyap, tenang dan stabil. Bila perlu potong, gabungan enjin 2.5L dan motor elektrik segera memberi kuasa 243 hp dengan pecutan yang cukup meyakinkan.
Sepanjang pemanduan, kabin terasa sangat kedap bunyi hanya muzik dari sistem audio 10 speaker Lexus Premium Sound menemani. Tempat duduk kulit asli dengan fungsi ventilasi buatkan penulis rasa selesa walaupun cuaca tengah panas.
Enjin & Prestasi
Di atas kertas, NX 350h Luxury mampu memecut 0 hingga 100 km/j dalam 7.7 saat dan mencapai 200 km/j kelajuan maksimum. Tetapi dalam realiti, highlight sebenar adalah bagaimana sistem hibridnya bekerja senyap dan lancar. Dalam trafik perlahan, ia boleh bergerak sepenuhnya menggunakan motor elektrik seolah olah pemanduan EV sebenar, senyap tanpa getaran.

Menariknya, sepanjang perjalanan pergi balik Subang ke Melaka sejauh 250 km, meter minyak menunjukkan pada awalnya tangki penuh boleh capai 862 km. Balik semula ke Subang, baki anggaran tinggal 483 km. Berdasarkan kiraan, itu bermaksud penggunaan sebenar sekitar 24 liter petrol untuk 250 km, bersamaan purata 10.3 km/l. Angka ini lebih tinggi daripada claim rasmi 20 km/l, namun masih wajar untuk sebuah SUV premium AWD dengan berat hampir 1.9 tan.

Keselesaan & Teknologi
Suspensi MacPherson strut depan dan double wishbone belakang menyerap hentakan jalan dengan baik. Pada kelajuan lebuh raya, stereng terasa mantap manakala sistem E-Four AWD bagi lebih keyakinan bila hujan turun di pertengahan perjalanan.
Skrin sesentuh 14 inci di tengah papan pemuka sangat responsif, dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Head up display pula bantu penulis pantau kelajuan tanpa perlu alih pandangan dari jalan.

Keselamatan & Ciri Pintar
Sepanjang perjalanan, penulis cuba Dynamic Radar Cruise Control dengan fungsi Stop & Go yang boleh kekalkan jarak selamat secara automatik, memudahkan pemanduan jarak jauh. Ciri seperti Lane Tracing Assist, Blind Spot Monitor dan Pre Collision System menambah keyakinan terutama bila memandu dalam trafik bercampur.
Pintu but belakang pula mudah dibuka hanya dengan hayunan kaki, memudahkan ketika tiba di hotel untuk turunkan bagasi.

Praktikaliti
Dengan ruang but 520 liter, cukup luas untuk perjalanan keluarga hujung minggu. Lipat kerusi belakang, ia boleh cecah 1,411 liter sesuai untuk trip panjang.
Selepas lebih 125 km di balik stereng, jelas bahawa Lexus NX 350h Luxury bukan sekadar SUV mewah tetapi sebuah kenderaan yang direka untuk memberi pengalaman pemanduan tenang, selesa dan efisien. Lexus berjaya satukan prestasi hibrid moden dengan kesenian Takumi craftsmanship dalam satu pakej yang kemas.
Jika anda mencari SUV premium yang senyap, elegan tapi tetap ada kuasa bila diperlukan, NX 350h Luxury ialah jawapan Lexus untuk pasaran Malaysia.
