Lexus NX generasi baharu mendarat di Malaysia, harga dari RM370k

oleh Mohamad Hanif|
Lexus Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV mewah generasi baharu Lexus NX 2022, selepas tempahan dibuka pada penghujung bulan yang lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Untuk pasaran tempatan, terdapat dua versi yang boleh dipilih, iaitu NX 250 Luxury dan versi yang lebih sporti NX 350 F Sport.
 

NX


Generasi baharu Lexus NX menggunakan asas platform GA-K (TNGA-K) dengan membawakan peningkatan 30 peratus tahap ketegaran dan titik graviti yang lebih rendah, sekaligus menambahbaik tahap pengendalian dan kawalan crossover ini ketika di selekoh.

Dari segi dimensi, Lexus NX membawakan ukuran sepanjang 4,660 mm, lebar 1,865 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,690 mm, di mana ia 20 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar, dan jarak antara roda 30 mm lebih panjang berbanding NX terdahulu.

Sistem suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan double-wishbone pada gandar belakang, sementara untuk model Lexus NX 350 F Sport pula didatangkan dengan sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) untuk pengendalian yang lebih tajam dan sporti, kurang olengan, dan lebih selesa.
 

NX


Rupa paras Lexus NX cuba mengekalkan rekaan asal yang dibawakan pada model terdahulu, namun dengan elemen yang lebih ringkas.

Seperti contoh, struktur jeriji hadapan yang lebih menegak dengan corak criss-cross, unit lampu LED yang menggabungkan sekali lampu nyalaan siang LED DRL berbentuk L, sementara unit lampu belakang berbentuk L pula disambungkan dengan bar LED melintang.
 

NX


Perubahan yang lebih ketara adalah penampilan perkataan LEXUS pada bahagian tersebut bagi menggantikan logo L, menjadikan penampilan yang lebih elegan dan moden, serta menunjukkan hala tuju baharu Lexus terhadap penjenamaan mereka.

Susun atur ruang kabin Lexus NX pula membawakan Tazuna Concept yang mengambil inspirasi daripada hubungan antara penunggang dan kuda, di mana pergerakan halus daripada penunggang mampu diterjemahkan dengan baik oleh sang kuda.
 

NX


Salah satu contoh yang berkesan adalah pengurangan bilangan butang fungsi daripada 78 unit kepada 45 unit sahaja, di mana butang fizikal masih lagi dikekalkan untuk fungsi yang kerap kali digunakan.

Sementara fungsi yang jarang digunakan pula boleh diakses menerusi skrin sentuh bersaiz 14 inci - terbesar di dalam kelasnya - dan menyokong sambungan kepada Apple CarPlay (nirwayar) dan Android Auto.

Selain itu, Lexus NX menampilkan penggunaan bahan yang premium sebagai sebahagian daripada pakej hospitaliti Omotenashi Lexus, diikuti dengan sistem pencahayaan ambien 64 warna, dan ciri baharu suis pembuka pintu (e-latch).
 

NX


Terdapat sehingga lapan warna pilihan yang boleh dipadankan untuk Lexus NX, termasuk warna baharu Sonic Chrome, diikuti dengan dua warna eksklusif untuk varian F Sport.

Pilihan untuk warna ruang kabin pula adalah Black, Dark Rose dan warna Hazel yang eksklusif untuk varian Luxury, sementara varian F Sport pula mendapat warna hitam atau kemasan Flare Red yang lebih menonjol.

Dari segi kuasa, Lexus NX 250 Luxury didatangkan dengan enjin 2.5 liter aspirasi natural (kod A25A-FKS) yang mampu menjana kuasa 204 hp @ 6,600 rpm dan daya kilas 243 Nm @ 4,000 rpm, sementara Lexus NX 350 F Sport pula tampil dengan enjin 2.4 liter turbo (kod T24A-FTS) dengan angka output 275 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 430 Nm @ 1,700-3,600 rpm.
 

NX


Kedua-dua varian didatangkan standard dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan dengan ciri kawalan AI Shift, di mana ia akan menggunakan data daripada imbasan jalan raya di hadapan untuk memadankan kawalan dan penukaran gear yang sewajarnya.

Lexus NX turut hadir dengan pelbagai ciri keselamatan yang terangkum di bawah Lexus Safety System Plus (LSS+) seperti contoh sistem pra-pelanggaran (PCS), bantuan pengesanan lorong (LTA), kawalan jelajah dinamik radar (DRCC) dengan fungsi berhenti/mula, bantuan suluhan tinggi (AHS), bantuan papan tanda jalan (RSA), sistem pemantauan pemandangan panoramik (PVM) dan Parking Brake Support (PKSB).

Harga jualan Lexus NX 2022 bermula dari RM370,888 untuk varian 250 Luxury, sehingga RM389,888 untuk varian 350 F Sport.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Terdapat dua pilihan varian ditawarkan, iaitu Lexus NX 250 Luxury dan versi Lexus NX 350 F SPORT.…
Berita Global
  Satu perkara menarik tentang bidang pengendalian, Yamaha Motor Co., Ltd. adalah syarikat yang…
Berita Global
Sedar ataupun tidak, generasi ketiga Toyota Alphard/Vellfire sebenarnya sudah pun kian menghampiri…