Lexus RX 2023 - generasi baharu guna platform GA-K

oleh Mohamad Hanif|
Selepas pengenalan model Lexus NX generasi baharu tahun lalu, Lexus kini meneruskan penggunaan platform GA-K menerusi pengenalan model generasi baharu Lexus RX 2023.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan menggunakan platform yang lebih moden berbanding pelantar K terdahulu, Lexus RX dikatakan 89.81 kg lebih ringan jika dibandingkan dengan Lexus RX generasi keempat.

Dimensi RX tidak banyak berubah (4,980 mm), namun Lexus telah memanjangkan jarak antara roda sebanyak 60 mm, sementara jarak gantungan belakang pula berkurangan sebanyak 59.94 mm.

Perubahan ini menjadikan ruang kaki yang jauh lebih luas, diikuti dengan ruang kargo yang bertambah besar.
 

RX


Dari segi luaran, Lexus RX 2023 membawakan rekaan gril spindle versi baharu, unit lampu depan baharu dengan lampu DRL terbina dalam, serta rekaan perumah lampu kabus yang lebih agresif.

Di bahagian sisi, rekaan arka roda kini lebih bulat berbanding model terdahulu yang lebih bersegi, garis bahu yang lebih bersih rekaannya, diikuti dengan rekaan tiang C yang memberikan ilusi bumbung terapung yang sama seperti model RX terdahulu.

Sementara bahagian belakang pula menempatkan unit lampu LED yang kini dihubungkan dengan satu jalur bercahaya, rekaan bampar belakang dengan liang ventilasi, serta bahagian bawah bampar dengan kemasan dua tona yang lebih sporti.
 

NX


Ruang kabin pula banyak mengikut elemen susun atur yang dibawakan pada model NX, seperti skrin infotainmen sebesar 14 inci, pengurangan butang fungsi pada papan pemuka dan konsol tengah, e-Latch, tombol gear yang lebih ringkas, serta sistem pencahayaan ambien.

Sayang sekali, jam analog yang menjadi hiasan tipikal pada sebuah Lexus kini tidak lagi ditampilkan pada model RX.
 

Lexus RX


Era penggunaan enjin bersesaran besar pada crossover RX kini sudah pun tamat, di mana Lexus RX serba baharu ini menampilkan penggunaan nadi turbo bagi menggantikan enjin bentangan V6 3.5 liter sebelum ini.

Enjin 2.4 liter turbo T24A-FTS itu mampu menjana kuasa setinggi 275 hp dan daya kilas 429 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j hanyalah sepantas 7.2 saat untuk versi AWD (7.5 saat untuk versi FWD).

Lexus juga turut menawarkan model RX 350h yang dilengkapi dengan enjin hibrid 2.5 liter dengan sistem pacuan semua roda dan transmisi CVT, menghasilkan 246 hp dan 316 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j mengambil masa 7.4 saat.
 

RX


Tidak terus melupakan golongan yang mahukan elemen kepantasan, Lexus RX turut hadir dengan versi RX 500h F-Sport Performance, dengan nadi 2.4 liter turbo, transmisi automatik enam kelajuan dan gandar belakang yang dipadankan dengan motor elektrik.

Secara keseluruhan, RX 500h F-Sport Performance ini mampu memecut sepantas 5.9 saat dari pegun ke 100 km/j, terima kasih kepada output 367 hp dan 550 Nm yang dihamburkan oleh trenkuasa turbo itu tadi.

Versi RX yang lebih sporti itu turut mendapat kemasan luaran yang lebih agresif, diikuti dengan kemasan hitam pada sesetengah tempat, diikuti dengan roda stereng balutan kulit berliang, paddle shifter, pedal aluminium, panel pintu suede, plet F-Sport, dan tidak ketinggalan sistem brek dengan angkup enam omboh.

Setiap unit RX didatangkan dengan ciri keselamatan Lexus Safety System+ 3.0  yang merangkumi kawalan jelajah radar dinamik dengan fungsi pengurusan kelajuan di selekoh, sistem pra-pelanggaran dengan pengesanan pejalan kaki, sokongan di persimpangan dan pengesanan penunggang motosikal, amaran keluar lorong serta sistem Advanced Park.