Lexus RX 500h F Sport 2023 - nadi 2.4 turbo hibrid, 366 hp, 550 Nm, dari RM498,888

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa bulan pelancaran Lexus RX 350 2023, Lexus Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan varian baharu RX 500h F Sport 2023, merangkap model hibrid prestasi pertamanya untuk pasaran tempatan.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Dari segi luaran, Lexus RX 500h F Sport ini membawakan kit badan yang jauh lebih sporti, dengan jeriji ikonik 'spindle body', perumah cermin sisi berwarna hitam, perumah lampu kabus yang lebih besar, serta unit lampu utama Ultra Slim 3-beam LED Projector yang turut menampilkan DRL berbentuk L.
 

RX


Penampilan bampar belakang juga lebih agresif berbanding model standard, sementara keempat-empat sudut dipasangkan rim aloi ringan bersaiz 21 inci kemasan hitam kusam, serta balutan tayar Michelin eksklusif 235/50R21.

Terima kasih kepada penggunaan platform TNGA-K, Lexus RX kini 90 kg lebih ringan, dan titik graviti 15 mm lebih rendah yang menyumbang kepada aspek pengendalian yang lebih berkesan.
 

RX


Dari segi kuasa, Lexus RX 500h F Sport membawakan nadi T24A-FTS 2.4 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 271 hp dan 460 Nm, motor elektrik hadapan berkuasa 87 hp/292 Nm, serta motor elektrik pada gandar belakang (eAxle) 103 hp/169 Nm.

Secara keseluruhan, RX 500h F Sport berupaya menjana kuasa setinggi 366 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 550 Nm @2,000-3,000 rpm, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 6.2 saat, menjadikannya model RX yang paling bertenaga ditawarkan untuk pasaran.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda DIRECT4 menerusi transmisi automatik enam nisbah kelajuan.
 

RX


Pek bateri nickel-metal hydride (Ni-MH) serba baharu diposisikan di bahagian bawah tempat duduk belakang, digandingkan dengan sistem kawalan hibrid yang mampu mengubah konfigurasi pemanduan antara mod hibrid dan mod EV bergantung kepada situasi semasa, serta menentukan kadar agihan daya kilas (70:30 atau 20:80).

Sistem gantungan RX 500h F Sport ini terdiri daripada topang MacPherson di hadapan, diikuti tetapan multi-link 5 lengan di bahagian belakang, dibantu dengan sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) dengan dua mod tersedia, iaitu Normal dan Sport.

Selain itu, RX 500h F Sport juga dibekalkan dengan sistem stereng gandar belakang (Dynamic Rear Steering, DRS) yang membenarkan roda belakang berubah arah dengan sudut sehingga 4 darjah.

Sistem stereng DRS itu menawarkan kadar kebolehkendalian yang cemerlang pada julat kelajuan rendah, serta mengekalkan pengendalian lincah pada julat kelajuan sederhana dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
 

RX


Sama seperti model RX yang lain, RX 500h F Sport turut menerapkan konsep Tazuna - satu elemen yang penting di dalam hubungan yang sempurna antara kuda dan penunggang.

Secara standard, Lexus RX 500h F Sport mendapat susun atur papan pemuka berorientasikan pemandu, dengan skrin kluster digital, skrin tengah sebesar 14 inci, paparan head-up (HUD), serta pengurangan butang fungsi daripada 80 kepada 51 sahaja.
 

RX


Tidak ketinggalan, sistem audio Mark Levinson Premium Sound System dengan 21 pembesar suara dan subwoofer, empat slot pengecasan USB (3 USB-C 15 W, 1 USB-A), pengecasan tanpa wayar Qi, kawalan iklim tiga zon dengan fungsi NanoeX, serta sistem pencahayaan ambien 64 warna.

Sistem bukaan pintu elektronik e-Latch menggantikan pemegang pintu dalaman di mana operasi bukaan yang lancar itu diinspirasikan daripada bukaan pintu gelangsar yang wujud pada rumah tradisional Jepun.

Ruang kargo pula mampu memuatkan barangan sehingga 612 liter, atau bersamaan dengan empat buah beg golf.
 

RX


Lexus RX 500h F Sport turut menampilkan kelengkapan keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+) merangkumi:
Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go
Amaran Keluar Lorong (LDA) dan Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
Sistem Suluhan Tinggi Adaptif (AHS) dengan BladeScan™
Bantuan Papan Tanda (RSA)

Operasi sistem e-Latch pula digandingkan dengan sistem pemantauan titik buta (BSM) untuk menawarkan fungsi Safe Exit Assist (SEA), membantu mengurangkan 95 peratus pelanggaran semasa pintu dibuka.
 

RX


Satu lagi ciri yang tersedia ialah Lexus Teammate Advanced Park, di mana sistem ini akan menggunakan empat kamera dan 12 penderia ultrabunyi untuk mengesan keadaan persekitaran, serta mengawal operasi stereng, penukaran gear dan brek semasa SUV ini diparkir.

Tidak ketinggalan, sistem kamera keliling 360 darjah panorama yang boleh digunakan untuk mencipta imej maya 3D untuk melihat keadaan kenderaan daripada sudut mata burung.
 

RX


Terdapat empat warna yang ditawarkan termasuklah White Nova Glass Flake, Sonic Iridium, Graphite Black Glass Flake dan Sonic Copper.

Untuk pasaran Malaysia, tempahan untuk model ini dibuka pada 18 Ogos 2023, di mana Lexus RX 500h F Sport 2023 dijual pada harga bermula dari RM498,888, lengkap dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Sementara sistem HEV pula dilindungi jaminan selama lapan tahun dan opsyen lanjutan jaminan dua tahun yang turut disertakan.

Baca: Lexus RX 350 Luxury 2023

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Menggabungkan kualiti limosin utama dengan keluasan MPV yang besar, Lexus LM juga menunjukkan imej…
Berita Domestik
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,875 unit terdiri daripada kenderaan berjenama Toyota, manakala…
Berita Domestik
Dikendalikan oleh PCM Klang Motor Sdn Bhd, Pusat Pameran Lexus Klang ini telah pun beroperasi sejak…