Liqui Moly, jenama pelincir dan aditif popular dunia dan di Malaysia kini berada secara rasmi di bawah payung Kumpulan Würth.
CEO Liqui Moly, Ernst Prost telah menjual kesemua saham miliknya kepada Kumpulan Würth, namun begitu, beliau akan kekal sebagai CEO syarikat itu.
Sebenarnya, Kumpulan Würth sudah hampir 20 tahun menjadi rakan niaga Liqui Moly, namun tidak diberitakan kepada umum.
Menurut siaran akhbar yang diterima, jalinan perniagaan antara Liqui Moly dan Kumpulan Würth tidak digembar-gemburkan dan ia wujud untuk menjaga Liqui Moly jika tiba saat genting.
Namun begitu, dengan penjualan saham milik Prost, Liqui Moly kini dengan rasminya berada di bawah Kumpulan Würth.
Seperti Liqui Moly, Kumpulan Würth juga berpangkalan di Jerman. Kumpulan itu mempunyai lebih dari 70,000 pekerja di seluruh dunia dan jumlah jualan global mereka bernilai lebih dari Euro 12.5 billion.
"Liqui Moly berada di bawah syarikat yang kuat dan mahu meneruskan tradisi Liqui Moly. Tidak akan ada perubahan ketara, terutama pada pekerja kami," ujar Prost.
Nampaknya semakin banyak syarikat kecil ditelan untuk memastikan ia kekal relevan di masa hadapan.