LiveWire One kini jauh lebih murah berbanding versi Harley-Davidson

oleh Mohamad Hanif|
Harley-Davidson LiveWire merupakan cubaan berani mati jenama olskool itu untuk menarik minat golongan sasaran baharu, namun disebabkan harga jualan yang agak mahal, tidak ramai golongan muda yang mahu mendapatkannya.

Oleh sebab itu, Harley-Davidson kini menjenamakan semula LiveWire sebagai satu jenama tunggal yang khusus untuk barisan model motosikal elektrik, selain menjanjikan pengalaman tunggangan yang terbaik dalam era baharu.

Motosikal elektrik yang sama, kini dikenali sebagai LiveWire One, dan ia kini dibezakan menerusi penampilan lencana LiveWire dan grafik yang lebih menarik.

 


Namun, unit trenkuasa masih lagi sama seperti Harley-Davidson LiveWire, menampilkan kuasa sehingga 105 hp dan daya kilas 116 Nm, serta pecutan 0-96 km/j dalam tempoh tiga saat.

Kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 177 km/j sahaja.

Sementara pek bateri pula berkapasiti 15.4 kWh yang mampu membenarkan jarak tunggangan sekitar 235 km di dalam bandar, atau 153 km untuk jarak gabungan.

 


Dengan menggunakan pengecas pantas DC, LiveWire boleh mencapai kapasiti pengecasan dari 0-80 peratus dalam tempoh 40-45 minit.

Apa yang pasti, harga jualan LiveWire One kini jauh lebih murah berbanding harga pengenalan untuk Harley-Davidson LiveWire.

Jika HD LiveWire yang terdahulu dijual pada harga $29,799 (RM124,828), anda kini boleh mendapatkan LiveWire One pada harga bermula dari $21,999 (RM92,154), dan harga tersebut tidak merangkumi pengecualian cukai sebanyak $2,200 yang membolehkan harga jualan direndahkan kepada $19,799 (RM82,938).

 


Harley-Davidson dijangka memasarkan LiveWire One di peringkat global menjelang tahun hadapan.