Lori bawa sardin terbalik, lebuh raya sesak

oleh Hamimah Hamid|
GARA-GARA sebuah lori muatan sardin terbalik, laluan di arah selatan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kuala Kangsar sesak dan aliran trafik terhenti lebih 3 kilometer.

Kejadian sekitar pukul 1 petang di Kilometer 265.9 itu mengakibatkan semua laluan terhalang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laluan berkenaan telah ditutup sepenuhnya dan kerja-kerja pengalihan telah dijalankan. 

"Lori terbabit dalam keadaan merintangi laluan dengan muatan dibawa bertaburan atas jalan.

" Laluan berkenaan telah ditutup sepenuhnya dan kenderaan dari arah utara telah dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar bagi kerja-kerja pengalihan dilakukan," katanya. 

Menurut Omar Bakhtiar, polis telah ditempatkan di lokasi kejadian bagi membantu kawalan aliran trafik untuk mengelak kesesakan lebih teruk.

"Kenderaan telah diarah untuk menggunakan laluan alternatif dari Tol Kuala Kangsar ke Sungai Siput untuk ke Ipoh," katanya.

Sementara itu, Twitter @Plustrafik dalam ciapannya memaklumkan laluan kontra telah dibuka di Kilometer 267.0 hingga 265.1 arah utara bagi mengurangkan kesesakan.

Trafik masih bergerak perlahan dan pengguna diminta mematuhi papan tanda.

Sementara itu, dalam satu video berdurasi 43 saat yang dikongsi di media sosial menunjukkan ribuan tin dan isi sardin bertaburan atas jalan.

Laluan lebuh raya juga bertukar warna kemerahan apabila sebahagian besar tin sardin kemek dan pecah dilanggar kenderaan lain.