Lori ikan gagal membrek, rempuh lima kenderaan Lebuhraya PLUS dekat Bidor

oleh Penyumbang Rencana|
Seramai 16 individu termasuk empat kanak-kanak terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan yang membawa muatan ikan serta lima kenderaan lain di Kilometer 341.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam.

Tiada mangsa tersepit atau mengalami kecederaan serius.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori gagal membrek lalu merempuh sebuah Proton Exora sebelum mengenai kenderaan lain yang berada di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Antara kenderaan lain yang terlibat ialah Honda HRV, Honda City, Toyota Alphard dan Proton Persona.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku disebabkan lori muatan ikan tersebut tidak sempat membrek.

Katanya, disebabkan kejadian itu lorong kecemasan, lorong kiri dan lorong kanan ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan sekali gus memperlahankan trafik di laluan berkenaan.

 

MG