Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kegagalan sistem brek menyebabkan lori itu melanggar tiga kenderaan yang sedang menuju ke lorong tol lapan dan lorong tol sembilan Plaza Tol.
"Akibat kejadian itu, mangsa bayi lelaki berusia satu tahun empat bulan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh lagi mangsa lain sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, Serdang dan KPJ Kajang.
"Bersabit dengan kes kemalangan ini, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang juga pemandu lori ditahan dan akan direman bagi tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
"Jika disabitkan kesalahan, ianya boleh dipenjara antara lima hingga sepuluh tahun, denda maksimum sehingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang daripada lima tahun.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.
Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaua sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan bersama.
Selain lori berkenaan, tiga kenderaan lain yang terbabit ialah sebuah pikap, kereta dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Video di bawah: