Berdasarkan laporan daripada rakan media Paultan, unit produksi sebenar yang dibawakan oleh Lotus Cars Malaysia merupakan versi First Edition yang didatangkan dalam warna merah Magma Red, berbanding unit pra-produksi berwarna kelabu yang dipamerkan sebelum ini.

Dari segi kuasa, Lotus Emira 2023 First Edition ini membawakan enjin bentangan V6 3.5 liter (2GR-FE) yang disumberkan daripada Toyota.
Dipadankan dengan unit pengecas lampau Edelbrock 1740, Lotus Emira ini mampu menjana kuasa setinggi 405 PS dan 420 Nm (atau 430 Nm dalam versi automatik enam kelajuan).
Ya, selain daripada transmisi automatik, Emira boleh didapati dalam versi kotak gear manual enam nisbah kelajuan.

Harga jualan Lotus Emira untuk pasaran Malaysia bermula dari RM1,131,800.
Difahamkan, pihak Lotus Cars Malaysia akan mengadakan sesi pra-tonton eksklusif pada 5 Mac ini bermula jam 5 hingga 7 petang bertempat di ibu pejabat LCM di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Spesifikasi lanjut Lotus Emira First Edition 2023 ini boleh didapati menerusi laman web rasmi Lotus, atau menerusi pautan di bawah: