LRT Kelana Jaya beroperasi semula Isnin ini, tambang percuma bermula 14-20 November untuk pengguna terjejas

oleh Mohamad Hanif|
Pihak pengendali perkhidmatan rel Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan pembukaan semula operasi jajaran LRT Laluan Kelana Jaya bermula 14 November 2022 jam 6 pagi setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Berdasarkan analisa oleh pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group, pihak APAD telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharudin Mat Sah berkata, ““Kami berterima kasih kepada APAD dengan kelulusan yang telah diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya. Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota. Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.”

“Kami sekali lagi menekankan bahawa keputusan yang diambil adalah demi keselamatan pengguna. Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya.”
 

Rapid Rail


Pihak Rapid Rail turut mengumumkan pemberian tambang percuma kepada para pengguna LRT Laluan Kelana Jaya yang terjejas tempoh hari.

Pengguna pas My50 akan diberikan tambang percuma selama tujuh hari dengan memperbaharui pas tersebut selepas tamat tempoh, bermula 21 November hingga 20 Disember di mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT.

Bagi pelanggan pas My50 yang telah tamat tempoh antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November boleh menggunakan pas seperti biasa, namun perlu memastikan pas tersebut mempunyai nilai sekurang-kurangnya RM5.00.

Pengguna kad Touch ‘n Go pula boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj (baki minima RM5.00) bermula Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022 untuk mana-mana destinasi Laluan Kelana Jaya.

Pengguna token juga boleh menggunakan perkhidmatan yang sama bermula 14 November hingga 20 November, di mana token tersebut boleh didapati di mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk laluan Kelana Jaya sahaja.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tarikh pembukaan perkhidmatan LRT bagi laluan…
Berita Domestik
Rapid Bus telah mendapat kerjasama daripada Smart Selangor dan Mara Liner, di mana masing-masing…
Berita Domestik
Laporan Malaysian Insight memetik kata-kata ketua pegawai eksekutif kumpulannya, Mohad Azharuddin…