Lunaz jual Range Rover klasik berkuasa elektrik, bermula dari RM1.3 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Bagi mereka yang masih mahukan kenderaan klasik peribadi kekal relevan di tengah-tengah peralihan kepada trenkuasa sifar emisi, syarikat kejuruteraan British Lunaz mungkin mempunyai jawapan yang anda cari-cari selama ini.

Menerusi model klasik Range Rover ini, Lunaz cuba untuk membuktikan bahawa segalanya mungkin dengan adanya keinginan (dan wang yang mencukupi).

Harga yang dikenakan untuk proses penukaran trenkuasa elektrik ini bermula dari £245,000 (RM1,329,211), dan pihak Lunaz hanya mengehadkan 'produksi' kepada 50 unit sahaja.

Kesemua 50 unit tersebut sebenarnya menggunakan kereta penderma Range Rover yang dibina antara tahun 1970 hingga tahun 1994, sebelum dihantar kepada pelanggan menjelang musim panas 2021.

Proses restorasi semula ini akan memastikan kereta asal dirombak semula, di mana setiap aspek seperti casis, panel badan dan bahagian dalaman Range Rover akan dibaiki semula sebelum dipasang dengan kit trenkuasa elektrik.

 


Ruang corong pengisian bahan api asal turut digantikan dengan slot pengecasan kuasa.

Sementara bahagian panel meter asal Range Rover akan dikekalkan, namun dengan penambahan skrin paparan yang menunjukkan status pengecasan serta jarak operasi yang tersisa sebelum pemilik perlu bergerak ke stesen pengecasan.

Lunaz juga turut menawarkan proses 'pembuangan' bumbung Range Rover dan digantikan dengan bumbung jenis convertible kustom seperti yang diperlihatkan di dalam filem James Bond tahun 1983, Octopussy.

Dari segi penawaran, Range Rover EV ini akan dilengkapkan dengan ciri seperti Wi-Fi, sistem infotainmen, navigasi satelit, sistem audio baharu, dan sistem pendingin hawa yang lebih moden.

 


Terdapat dua spesifikasi Range Rover EV yang bakal ditawarkan iaitu:

Town

  • menampilkan ruang dalaman yang serba mewah, serta ruang penyimpanan minuman khas untuk tempat duduk belakang.
  • pek bateri 60 kWh
  • motor elektrik tunggal pada gandar belakang

Country

  • untuk pencinta aktiviti off-road, menampilkan sistem suspensi dan brek yang dinaiktaraf
  • pemasangan bar anti oleng
  • sistem pacuan semua roda
  • motor elektrik berkembar, satu untuk setiap gandar
  • pek bateri 80 kWh
  • ruang storan dan ruang kargo yang boleh dikustom bergantung kepada permintaan

Tiada sebarang angka prestasi didedahkan buat masa ini, namun Lunaz mensasarkan jarak operasi maksimum sekitar 402 kilometer.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan daripada Auto Express UK, mereka yang berminat sudah boleh meletakkan tempahan…
Berita Global
Tiada sebarang nilai kesepakatan diumumkan oleh kedua-dua belah pihak, namun firma tersebut…
Berita Global
  Projek ini bukan setakat sekali sahaja (one-off) malah ditawarkan secara terhad kepada…