MAA - Dasar jelas, insentif, tarif perlu bagi jayakan kenderaan hidrogen

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan/Toyota Mirai
Malaysia kini memberi tumpuan terhadap pembangunan teknologi kereta hidrogen sebagai sebahagian daripada inisiatif tenaga bersih di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun kejayaannya bergantung kepada dasar, tarif dan insentif yang sesuai.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menegaskan, pelaksanaan rangka kerja praktikal amat penting bagi memastikan matlamat itu dapat diterjemah kepada penggunaan sebenar, seperti yang sudah berlaku di negara lain termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jerman.

Presiden MAA, Mohd Samsor Mohd Zain, berkata Malaysia kini membangunkan teknologi berkenaan untuk kegunaan masa depan, khususnya kenderaan elektrik (EV) sel bahan api seperti Toyota Mirai.

Beliau menyifatkan langkah itu selaras dengan visi kerajaan menjadikan hidrogen sebagai penyelesaian tenaga bersih bersama teknologi lain seperti nuklear dan pemerangkapan karbon.

"Dengan dasar yang sesuai, struktur tarif yang jelas dan insentif yang betul, industri automotif dapat mempercepat penggunaan kenderaan hidrogen dalam pasaran tempatan," katanya.

Di bawah pelan pembangunan lima tahun itu, hidrogen dilihat sebagai teras aspirasi mobiliti generasi akan datang, khususnya bagi pengangkutan jarak jauh dan tugas berat yang mungkin terbatas jika hanya bergantung pada EV bateri konvensional.

MAA turut melihat pelaksanaan cukai dan perdagangan karbon yang diumumkan dalam RMK13 mampu mendorong sektor awam dan swasta beralih kepada kumpulan kenderaan rendah pelepasan karbon.

Mohd Samsor berkata dasar itu berupaya menjadikan kenderaan konvensional yang mencemarkan kurang berdaya saing dari segi kewangan, selain membantu mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan EV di seluruh negara.

Selain aspek tenaga, MAA menyokong penekanan RMK13 terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) kerana ia penting dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong peralihan industri ke arah kenderaan elektrik, berhubung dan berautonomi.

Beliau berkata Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) akan memainkan peranan besar sebagai hab pembuatan dan inovasi automotif bernilai tinggi, sekali gus menarik pelaburan, pembangunan pusat penyelidikan serta memperkukuh ekosistem vendor tempatan.

Dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM430 bilion di bawah RMK13, industri automotif dijangka menerima limpahan manfaat terutama melalui projek infrastruktur awam yang meningkatkan permintaan kenderaan komersial.

Mohd Samsor berkata tumpuan kerajaan terhadap industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) akan menggalakkan pembangunan komponen automotif maju termasuk bahagian EV dan sistem keselamatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan RMK13 akan memperuntukkan RM611 bilion sepanjang 2026 hingga 2030, merangkumi RM430 bilion daripada kerajaan, RM120 bilion daripada GLC dan GLIC serta RM61 bilion melalui kerjasama awam-swasta (PPP).

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kerajaan menerusi Belanjawan 2026 baru-baru ini mengumumkan bahawa pengecualian duti import, duti…
Berita Domestik
Kenaikan Harga 10–30% Jika Guna Format Lama Menurut laporan paultan.org, Presiden MAA, Mohd Shamsor…
Berita Domestik
Ini menandakan prospek industri yang suram dalam tempoh terdekat, didorong oleh kekurangan…