Katanya, kerajaan juga masih meneruskan pemberian subsidi kepada golongan B40, kenderaan komersial yang layak dan juga kepada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak.
"MAA menyambut baik usaha kerajaan menyasarkan subsidi diesel kepada pengguna yang berhak. Dengan pelaksanaan ini, diharap kerajaan dapat terus memberi insentif atau subsidi tenaga kepada teknologi terkini seperti kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri dan kenderaan elektrik sel bahan api.
"Di Malaysia, kebanyakan kenderaan yang menggunakan enjin diesel adalah trak pikap, van dan kenderaan perdagangan.
"Selain dari penggunaan persendirian, pengguna kenderaan ini kebanyakannya dari sektor pembinaan, perladangan, logistik, pelancongan, pengangkutan dan ia amat penting untuk kelangsungan operasi perniagaan syarikat," katanya dalam satu kenyataan.
MAA mengakui penggunaan diesel untuk kenderaan komersial amat diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi negara, walau bagaimanapun, pihaknya difahamkan bahawa subsidi yang diluluskan tidak merangkumi kesemua penggunaan sektor yang terbabit mendapat subsidi.
Justeru, ia berkata, mekanisma rebat yang tepat dan cekap adalah amat penting.
"Adalah penting kuota subsidi untuk sektor ini dibuat dengan jelas bagi mengelakkan pengendali pengangkutan
daripada menaikkan kadar pengangkutan yang akan memberi kesan kepada orang awam dan daya saing negara," katanya.
MAA menjangkakan TIV tahun ini akan kekal pada tahap yang dirancang kerana permintaan untuk kenderaan diesel komersial, trak pikap dan van masih tinggi.
Walau bagaimanapun, ia berpendapat pengguna akan berhati hati untuk membuat keputusan membeli pada awalnya tetapi tidak akan menafikan pembelian memandangkan keperluan kenderaan diesel masih diperlukan untuk kegunaan semasa.