Mahle perlihat motor elektrik tanpa magnet - lebih tahan lasak, lebih efisien

oleh Mohamad Hanif|
Kebanyakan binaan motor elektrik yang ada pada ketika ini menampilkan bahan magnet yang biasanya diperbuat daripada logam nadir bumi, seperti neodymium.
Modenas

Namun pengeluar komponen automotif Jerman, Mahle baru-baru ini mengumumkan penghasilan motor elektrik yang bebas daripada magnet sepenuhnya.

Penemuan terbaharu ini bukan sahaja menjadikan produksi yang lebih mesra alam, ia juga turut memberikan manfaat dari segi kos dan juga penjagaan sumber bahan mentah.

 


Menurut pengerusi Mahle, Michael Frick berkata, "dengan produk motor elektrik baharu ini, kami menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah syarikat yang beroperasi secara lestari.

"Motor elektrik tanpa magnet (serta bahan nadir bumi) menawarkan manfaat yang besar bukan sahaja dari sudut perspektif geopolitik, malah ia juga berkenaan penggunaan sumber alam semula jadi yang lebih  bertanggungjawab.

Selain daripada manfaat yang mesra alam, motor elektrik Mahle ini juga sangat efisien dengan jangkaan sehingga 95 peratus dalam apa jua kondisi operasi - satu tahap yang biasanya dicapai oleh jentera lumba Formula E.

 


Ketiadaan magnet digantikan dengan peranan gegelung berkuasa, dan tidak seperti motor elektrik tipikal, gegelung ini menyalurkan kuasa kepada rotor berputar menggunakan induksi tanpa sentuhan.

Disebabkan tiada sentuhan antara dua permukaan, ia telah mengurangkan kadar kelusuhan selain menjadikannya lebih tahan lasak, bebas penyelenggaraan dan sesuai untuk pelbagai jenis aplikasi dalam kehidupan seharian.

Sumber: Mahle