"Malaysia Airlines harus dibubarkan" - Pakar Penganalisis Penerbangan

oleh SALINA JALIL|
Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines harus dibubarkan kerana sudah tidak boleh diselamatkan lagi, kata Penganalisis Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof.

"Malaysia Airlines sudah lama berdepan masalah dan sukar dibaiki. Dengan penularan COVID-19, kewangan syarikat itu semakin sukar diatasi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

"Semenjak tragedi MH370 dan MH17, Malaysia Airlines mengalami kesukaran untuk memperbaiki jenama mereka. Prestasi syarikat semakin merosot dan Malaysia Airlines sememangnya mempunyai isu legasi sejak bertahun lamanya.

 

"Kita harus akur Malaysia Airlines mempunyai masalah besar dan pada pendapat saya kita bubarkan Malaysia Airlines," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

 

 

Tambahnya, semua syarikat penerbangan dunia sudah mencuba sedaya upaya untuk kekal beroperasi namun sukar mengatasi kesan COVID-19.

 

"Menurut pakar perubatan, vaksin mungkin hanya ditemui dalam tempoh 18 bulan. Ia tempoh yang panjang dan syarikat penerbangan tidak akan mampu bertahan," tambahnya.

 

Khazanah suntik lagi dana

Pertimbangan mendalam harus dilakukan sekiranya Khazanah Nasional Berhad masih mahu menyuntik dana bantuan kepada Malaysia Airlines, menurut Shukor.

"20 ke 30 tahun dahulu Malaysia Airlines antara (syarikat penerbangan) yang menjadi pilihan di dunia namun situasi kini berbeza.

"Persoalannya, adakah wajar kita terus memberikan sokongan kewangan?

"Kita saksikan sejak 10 tahun lepas segala sokongan yang diberikan termasuk kewangan oleh Khazanah Nasional tidak berhasil," katanya.

Shukor menambah, berdasarkan keadaan semasa Malaysia Airlines, berbilion dolar diperlukan untuk memperbetulkan kembali syarikat berkenaan namun tiada jaminan ia akan berhasil.

"Kita perlukan wang yang amat banyak untuk satu syarikat dan kita belum pasti akan berjaya. Berdasarkan rekod, ia tidak berjaya," tambahnya.

 

Wujudkan syarikat penerbangan baharu

Shukor berkata, pemansuhan Malaysia Airlines boleh digantikan dengan sebuah syarikat penerbangan baharu yang lebih kecil dengan visi dan budaya tenaga kerja baharu serta kepimpinan syarikat diberikan kebebasan mengemudi mengikut dinamika pasaran sekali gus merancakkan ekonomi negara.

"Kita boleh wujudkan syarikat penerbangan baharu yang lebih kukuh dengan visi, kewangan dan pengurusan yang lebih baik.

"Syarikat ini tidak harus besar. Malaysia Airlines mempunyai sekitar 13,000 tenaga kerja. Ia terlalu besar untuk keadaan sekarang ini dan sekiranya COVID-19 berakhir sekali pun, ia mengambil masa dua hingga tiga tahun sebelum pelancong berani untuk mengembara kembali," katanya.

Shukor berkata, meskipun Malaysia Airlines menjalani penjenamaan semula pada 2014, namun ketika itu ia adalah satu bentuk perpindahan aset dan bukannya mewujudkan syarikat baharu.

"Pada 2014, kita hanya pindahkan aset dan pekerja ke dalam syarikat baharu. Namun keadaan sektor penerbangan amat kompleks dan budaya baharu diperlukan.

"Langkah pemindahan itu tidak berjaya mengatasi masalah Malaysia Airlines kerana landskap penerbangan dunia sekarang sudah berubah," katanya.

 

Kecilkan saiz tenaga kerja jika mahu kekal relevan?

Shukor berkata, Malaysia Airlines tidak mempunyai pilihan lain selain mengecilkan tenaga kerja jika mahu terus bernaung di bawah bumbung Malaysia Airlines Berhad (MAB).

"Kita tidak boleh lari dari soal pembuangan pekerja. Tiada guna penstrukturan dilakukan tanpa memperkemaskan kembali tenaga kerja.

"Namun semua ini sudah pasti harus dipertimbangkan sedalamnya kerana ia memberikan kesan negatif berganda kepada tenaga kerja terlibat," tambah Shukor.

 

Malaysia Airlines masih aset strategik?

Shukor berkata penilaian harus dilakukan oleh Khazanah sama ada pemilikan syarikat penerbangan nasional adalah relevan pada masa kini terutama jika dibandingkan dengan jumlah populasi penduduk Malaysia.

"Kita harus tanya kepada diri kita sama ada Malaysia yang mempunyai sekitar 31 juta penduduk, adakah kita memerlukan tiga syarikat penerbangan? Adakah ia sesuai?.

"Ia terlalu banyak dan kapasiti berlebihan. Kita harus lakukan satu kajian dan melihat tahap optimum jumlah penerbangan yang sepatutnya ada di Malaysia serta syarikat mana yang harus dibubarkan.

"Kita tidak boleh emosi serta bernostalgia," tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Group Kapten Izham Ismail pada April lalu dipetik sebagai berkata pendapatan syarikat susut sehingga 94 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 2 Oktober lalu, Malaysia Airlines mengesahkan mencapai persetujuan bersama pemberi pinjaman dan syarikat penyewa pesawat serta pembekal utama lain untuk melakukan penstrukturan segera bagi mengatasi bebanan yang ditanggung syarikat itu.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkhidmatan eksklusif dengan BMW i7 itu akan dibuka secara eksklusif kepada penumpang Enrich…
Berita Domestik
"Saya ada memberi cadangan kepada MAS supaya penumpang terjejas perlulah diberikan sedikit layanan…
Berita Domestik
Sama seperti pesawat B737-800 NGnya yang diperbaharui, 737-8 baharu itu turut menampilkan sistem…