Dominar D400 Adventure merupakan versi yang dipertingkatkan dari versi sebelum ini, dikuasakan oleh enjin satu silinder DOHC Tri Spark 373.2 cc, bersama transmisi enam kelajuan, yang menghasilkan 40 HP dan 35 Nm.
Apa yang menariknya, Dominar D400 Adventure didatangkan dengan tambahan aksesori kembara seperti penghadang angin lebih tinggi, pelindung tangan, pelindung kaki, pelindung enjin, penyandar belakang serta pengecas USB.
Pada bahagian suspensi dan brek, ia dilengkapi dengan fork USD 43 mm serta brek cakera 320 mm pada bahagian depan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban bersama tabung Nitrox pada bahagian belakang, lengkap dengan ABS dua saluran.
Dominar D400 Adventure didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci, depan dan belakang, dimana ia dibaluti tayar bersaiz 100/80 di depan dan 150/60 di belakang.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lampu hadapan LED, paparan meter LCD untuk melengkapkannya dengan ciri teknologi moden.
Dominar D400 Adventure ditawarkan dengan 2 pilihan warna iaitu Savanna Green dan Charcoal Black, dengan harga jualan bermula dari RM15,797 bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Untuk menyaksikan sendiri model Dominar D400 Adventure dan barisan model Modenas yang lain, kunjungi Hall C di MAEPS pada pameran Malaysia Autoshow 2023.