Menariknya, pengunjung turut diberi peluang untuk merasai pengalaman simulasi pemanduan EV itu, satu langkah yang memperlihatkan usaha Perodua mendekatkan teknologi masa depan kepada rakyat Malaysia.
Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, pameran ini mencerminkan keupayaan negara dalam menerima dan mengadaptasi teknologi EV secara holistik.
“Paparan kami menunjukkan bagaimana Malaysia boleh mengasimilasi teknologi EV sebagai sebahagian daripada ekosistem automotif tempatan,” katanya.
Selain daripada model EV half-cut, Perodua turut mempamerkan X06E, sebuah prototaip hibrid/elektrik hasil kerjasama dengan Politeknik Muadzam Shah. Projek ini membuktikan bahawa pelajar teknikal Malaysia mempunyai keupayaan untuk menghasilkan teknologi automotif berasaskan tenaga bersih.
“Usaha ini sebahagian daripada misi Perodua untuk memperkasakan ekosistem automotif negara serta memindahkan ilmu pengetahuan kepada generasi muda,” jelas beliau lagi.
Dalam usaha ke arah kelestarian tenaga, Perodua turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat Austria, Emerald Horizon, bagi meneroka potensi tenaga alternatif berasaskan unsur nadir bumi, torium.
“Kami percaya teknologi ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan memberi sumbangan besar kepada sasaran neutral karbon menjelang 2050,” tambah Dato’ Sri Zainal.
Kini, kilang Perodua telah menggunakan tenaga solar dan gas asli sebagai sumber tenaga, mencerminkan komitmen jangka panjang mereka dalam menjadikan pengeluaran automotif lebih lestari.
Pengunjung Malaysia Autoshow 2025 dipelawa melawat booth Perodua untuk melihat sendiri arah tuju syarikat nasional ini dalam era elektrifikasi.