Malaysia masih tidak endahkan kebajikan pembeli automotif?

oleh HEZERI SAMSURI|
Sebagai sebuah negara yang mempunyai dua jenama kereta nasional dan satu jenama motosikal nasional, pastinya Malaysia mempunyai undang-undang yang lengkap untuk industri automotif.

Ya, dari perspektif penghasilan produk, Malaysia mempunyai prasarana dan agensi-agensi yang lengkap untuk membantu penghasilan produk automotif.

Namun begitu, sebaik sahaja kenderaan itu meninggalkan dewan pameran, perlindungan kepada pembeli kenderaan di Malaysia sebenarnya sangat minimum.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Penulis sudah lama memperjuangkan isu ini tetapi usaha yang ada dari kerajaan dan agensi-agensi terbabit hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga.

Di bawah ialah senario-senario yang pernah terjadi dan akan terus berlaku kerana kurangnya undang-undang untuk melindungi pembeli automotif di Malaysia.

 

1. Apa jadi jika saya dapat kereta dengan warna yang bukan saya tempah? 

Ini pernah terjadi dahulu, terutama kepada model kenderaan yang mempunyai dua warna yang sama tetapi tona berbeza (kelabu terang atau kelabu gelap).

Kes ini sering berlaku dahulu ketika penjual terlalu sibuk melayan ramai pelanggan.

Sekarang penjual akan memastikan berkali-kali akan warna pilihan anda sebelum ia membuat tempahan atau penghantaran.

Sekiranya berlaku, ia tidak semudah seperti menukar kenderaan kerana kebanyakan pembelian dilakukan menerusi pinjaman bank.

Sekiranya syarikat kenderaan mahu menukar kenderaan tersebut, ia perlu "membeli" semula kenderaan itu daripada pihak bank.

Ini bukan sahaja membabitkan pembayaran faedah yang wujud dari pihak bank, tetapi penukaran pelbagai dokumen yang sangat rumit

Paling penting, kenderaan yang "dibeli" semula dari bank itu akan menjadi kenderaan terpakai dan harganya sudah menurun walaupun jarak perjalanan masih sifar.

Dalam kes ini, memang tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh pembeli kecuali meminta jasa baik syarikat pengeluar atau membawa kes itu ke mahkamah (dengan kos guaman yang tinggi).

Pihak kerajaan perlu melihat isu ini secara mendalam dan memudahkan penukaran kenderaan dilakukan, sekiranya ia benar-benar perlu.

 

 

2. Kenderaan yang baharu dibeli ada banyak kerosakan.

Benar, kenderaan baharu mempunyai waranti tetapi jika ia rosak setiap bulan, ia akan menyukarkan kehidupan kita sebagai pengguna.

Pengalaman penulis ialah ada pembeli motosikal jenama China yang terpaksa membuat tuntutan waranti sebanyak 18 kali dalam tempoh setahun setengah.

Jika ini berlaku kepada anda, tidak ada undang-undang yang betul untuk membantu anda. 

Ia terpulang kepada syarikat pengeluar kerana jika mereka mahu menukar kenderaan anda, masalah membeli semula kenderaan itu akan berlaku.

Tribunal Pengguna mungkin boleh membantu tetapi dari pengalaman penulis, tribunal itu mempunyai batasan yang ketara dan ia hanya mampu "menasihatkan" syarikat kenderaan sahaja.

Pihak kerajaan perlu ada akta yang lebih telus dan tegas dalam melindungi hak-hak pengguna dalam isu ini kerana pembeli mempunyai hak untuk produk yang baik, bukan yang menyusahkan.

Jika tidak, pengguna di Malaysia akan menjadi tikus makmal untuk produk-produk yang tidak terbukti ketahanannya. Ini sebenarnya seburuk Malaysia menjadi "dumping ground".

 

 

3. Kereta tersadai tiada alatganti, tapi ansuran tetap perlu dibayar.

Ini antara perkara yang memang sudah, sedang dan akan terjadi kerana kita tidak mempunyai cara untuk mengetahui sebab sebenar alatganti itu lambat tiba.

Dari pengalaman penulis juga, ada kes-kes yang membabitkan pemilik kenderaan terpaksa menunggu sehingga hampir setahun untuk kenderaannya dibaiki.

Dalam tempoh selama itu, pemilik masih terpaksa membayar ansuran bank tetapi kenderaan tidak boleh digunakan.

Pihak kerajaan perlu mempunyai cara untuk memastikan pihak syarikat kenderaan benar-benar berusaha untuk membawa masuk alatganti tersebut.

Ini ialah kerana ada syarikat kenderaan yang mempunyai cash-flow yang terlalu teruk sehinggakan minyak enjin untuk servis kenderaan pun boleh terputus. Apa lagi alatganti-alatganti yang diperlukan oleh pemilik kenderaan?

Jika ini berlaku, tidak adil untuk pembeli yang menjadi mangsa dan pihak kerajaan perlu memastikan pembeli dilindungi.

 

 

4. Bagaimana hendak tahu yang kenderaan saya ada kempen panggil semula?

Kempen panggil semula atau "recall" ialah satu perkara yang normal.

Untuk pengguna dan pemimpin yang kurang arif, mereka masih beranggapan "recall" ini adalah satu perkara yang negatif.

Semua syarikat kenderaan pernah mengalami kempen panggil semula kerana kenderaan-kenderaan semakin kompleks dan mempunyai ribuan komponen untuk fungsi-fungsi canggih.

Di Australia dan negara-negara maju, semua syarikat wajib melaporkan sebarang panggil semula yang wujud.

Untuk Australia, cuba layari laman web https://www.productsafety.gov.au/products/transport dan semua kempen panggil semula yang dilakukan ada disenaraikan di situ.

Kemudian, syarikat pengeluar wajib memberi laporan lengkap bagaimana kempen panggil semula dilakukan dan agensi kerajaan akan menentukan samada kempen itu mencukupi atau perlu ada kenyataan di media-media.

Di Malaysia, penulis tahu ada kes-kes panggil semula di mana pintu kenderaan tidak boleh ditutup dan boleh terbuka sendiri, dan ada kes-kes yang boleh menyebabkan kebakaran kepada kenderaan tetapi tidak ada pengumuman rasmi di saluran media nasional yang dilakukan.

Usaha paling tegas oleh kerajaan dalam isu panggil semula ini ialah ketika mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turun untuk melihat sendiri masalah beg udara Takata yang memang sudah meragut nyawa pengguna.

Isu Takata itu membuktikan bahawa Malaysia mempunyai kesukaran untuk menjejak pemilik-pemilik kenderaan kerana kekalutan sistem data dan maklumat.

Malah ada agensi kerajaan yang mahu pihak syarikat kenderaan membayar jika mahukan informasi pemilikan kenderaan, walaupun ia membabitkan kempen panggil semula.

Jika kerajaan masih merasakan ini kempen panggil semula tidak perlu pengawasan, penulis cuma ada satu jawapan sahaja untuk situasi ini: malas.

 

 

5. Apa perlu saya buat jika kereta saya selalu rosak sampai tamat waranti? Adakah saya perlu menanggung biawak hidup ini?

Semakin banyak alatan elektronik pada sebuah kenderaan, semakin tinggi risiko berlaku kerosakan "misteri" yang berulang kali.

Kadang-kala, kerosakan itu disebabkan komponen yang mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, dan ia hanya disedari selepas kenderaan itu dilancarkan.

Ini bermakna kos pemilikan akan meningkat diluar jangkaan pemilik. 

Kita juga mempunyai kes kenderaan yang mempunyai masalah dengan komponen-komponen utama yang mahal, seperti transmisi.

Pembaikan sementara dilakukan kerana mungkin pengeluar tidak mahu menggantikan komponen itu, tetapi bila tempoh waranti berakhir, pemilik disarankan untuk menggantikan komponen yang mahal itu.

"Recurring fault" atau kerosakan berulang-kali sepatutnya ditanggung oleh pihak syarikat kenderaan walaupun ia masih berlaku selepas tamat tempoh waranti.

Dan sekiranya kenderaan itu sering kali rosak, ia perlu dilihat dari segi perundangan pula.

Di dalam beberapa negara maju, undang-undang "lemon" atau "lemon law" diperkenalkan untuk melindungi pembeli dari kenderaan-kenderaan baharu yang tidak putus-putus meragam.

 

 

Pengguna Malaysia bernasib baik kerana ada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan yang memandang serius isu panggil semula serta kepuasan pelanggan.

Namun begitu, bagaimana pula syarikat kenderaan yang tidak begitu hiraukan masalah ini? Adakah kenderaan mereka terlalu sempurna atau mereka menggantikan komponen itu secara senyap di pusat servis?

Apa jadi jika kenderaan itu tidak dihantar ke pusat servis? Apa jadi dengan panggilan semula yang membabitkan kenderaan-kenderaan recond? Adakah penjual kenderaan recond mahu bertanggung jawab? Bagaimana dengan kenderaan terpakai?  

Jika pihak kerajaan merasakan isu ini tidak wujud di Malaysia, ini bermakna mereka tidak begitu arif dengan industri automotif.

Jika mereka arif dan mempunyai kepakaran di dalam bidang automotif, ini bermakna mereka malas untuk memikirkan nasib pembeli automotif di Malaysia.

Rata-rata pembeli automotif tempatan mengambil pinjaman untuk kenderaan mereka dan kerana itu mereka perlu perlindungan yang sebaiknya.

Mungkin sudah tiba masa untuk kita letakkan kepuasan konsumer Malaysia di dalam KPI pemimpin-pemimpin atau kementerian-kementerian di dalam negara ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) memaklumkan, terdapat dalam 3,878…
Berita Global
Menurut Toyota, air boleh menyebabkan berlakunya litar pintas pada komponen elektronik selak pintu…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…